Krisis Di Thailand Tidak Jejas Politik, Ekonomi Malaysia - Dr Mahathir

Diterbitkan: Sabtu, 24 Mei 2014 8:54 AM

Tun Dr Mahathir

(Ubah saiz teks)

TOKYO: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata senario politik dan kedudukan ekonomi Malaysia tidak akan terjejas dengan krisis yang sedang berlaku di Thailand berikutan rampasan kuasa oleh tentera negara itu, Khamis lepas.

Beliau berkata kejadian rampasan kuasa oleh tentera Thailand bagi menyelesaikan konflik politik yang berlarutan lebih enam bulan itu tidak memberi kesan kepada Malaysia kerana insiden seperti itu pernah berlaku sebelum ini.

Kali terakhir, pihak tentera merampas kuasa di Thailand ialah pada 19 Sept 2006 ketika pemerintahan perdana menteri Thaksin Shinwatra.

Dr Mahathir berkata rakyat Malaysia merupakan masyarakat yang mematuhi undang-undang dan akan menggunakan saluran yang betul sekiranya mahu mengubah sesebuah kerajaan.

"Sudah tentu tidak ada percubaan untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara yang tidak dihalalkan dan apa yang berlaku di Thailand tidak mempengaruhi keadaan politik di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena 'Seminar Mengenai Pelaburan dan Peluang Perdagangan di Kedah' yang dianjurkan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Tokyo, Jepun, Jumaat.

Seperti dilaporkan, konflik di Thailand tersebut dicetuskan oleh protes berhubung rang undang-undang pengampunan tahun lepas yang akhirnya dibatalkan selepas mendapat tekanan daripada kumpulan pembangkang. 

Ia dilihat sebagai langkah bagi membolehkan kepulangan Thaksin yang berada dalam buangan.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata beliau berharap konflik antara China dan Vietnam berkenaan kawasan maritim di Laut China Selatan diselesaikan melalui perundingan.

"Perlu ada rundingan. Saya memang menentang peperangan kerana keganasan tidak akan menyelesaikan masalah ini. Sekiranya satu negara mampu menewaskan negara lain dalam persengketaan tetapi keadaan tegang akan berterusan," katanya.

Ketegangan timbul selepas Beijing memindahkan sebuah pelantar minyak ke kawasan maritim di Laut China Selatan yang turut dituntut oleh Hanoi.

Tindakan tersebut mencetuskan beberapa insiden di kawasan maritim itu dengan Vietnam empat hari lalu menuduh China menyerang kapal-kapalnya.

Menteri-menteri Luar Asean melahirkan kebimbangan serius berhubung perkembangan itu ketika pertubuhan itu cuba bersatu dalam menangani isu tersebut dengan China.

Tags / Kata Kunci: Thailand , krisis , Tun Dr Mahathir

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan