Selepas Adegan Merajuk Dan Merempuh Kereta, Abu Backer Kini Berkempen Naik Karavan

Diterbitkan: Jumaat, 23 Mei 2014 11:30 AM

Walaupun rosak, karavan akan digerakkan trak penunda bagi membolehkan Abu Backer meneruskan kempen petang Jumaat ini.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Selepas mencetuskan pelbagai kontroversi menerusi adegan drama lakonannya, calon Bebas, Abu Backer Sidek Mohamad Zan terus mencuri tumpuan media apabila menggunakan karavan yang terpaksa ditarik trak penunda untuk berkempen.

Bukan itu sahaja, malahan karavan itu diiringi seekor kuda yang ditunggangi pembantunya.

Terbaharu, beliau menghantar mesej menerusi aplikasi Wassapp kepada media kira-kira pukul 8.53 pagi Jumaat memberitahu akan kembali berkempen selepas selesai solat Jumaat.

Menurutnya, kempen tersebut akan diadakan di sekitar kawasan Farlim, Desa Mawar di Air Itam menggunakan sebuah karavan yang dihiasi posternya.

Tinjauan mStar Online mendapati, karavan tersebut  diletakkan di tepi Jalan Magazine di hadapan hotel penginapan peguam berusia 46 tahun itu.

Abu Backer ketika dihubungi memberitahu karavan tersebut mengalami kerosakan dan beliau tetap akan berkempen dengan mendapatkan khidmat trak penunda untuk menggerakkan kenderaan itu.

"Sekarang karavan dan ada kat bawah hospital. Saya akan terus berkempen walaupun karavan saya rosak dan akan digerakkan oleh trak penunda," katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan karavan tersebut ditunda Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).

Mengenai kesihatannya yang dikatakan menghidap jangkitan paru-paru, Abu Backer berkata, beliau masih dalam pengawasan doktor kerana belum pulih sepenuhnya.

"Saya patutnya keluar dua hari lagi tapi demi rakyat saya sanggup ambil risiko," katanya.

Beliau dimasukkan ke hospital tersebut malam Rabu selepas mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Pada Khamis, tindakan Abu Backer memilih media tertentu sahaja untuk diwawancara menyebabkan beliau dikecam.

Beliau seolah-olah cuba mempermainkan media apabila tidak muncul pada sidang media yang dijanjikan akan diadakan di lobi hospital swasta itu.





Tags / Kata Kunci: karavan , Abu Backer Sidek Mohamad Zan , kuda

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan