SPR Anggap Gelagat Abu Backer Hanya Kempen

Diterbitkan: Rabu, 21 Mei 2014 4:54 PM

Abu Backer terbaring selepas merempuh kereta rasmi Lim Guan Eng pada Isnin.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Tindakan calon Bebas pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor, Abu Backer Sidek Mohamad Zan mencetuskan kekecohan di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Selasa tidak melanggar peraturan dalam Akta Pilihan Raya 1954.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh menyifatkan tindakan calon Bebas itu sebagai sebahagian daripada caranya berkempen dan tidak melakukan sebarang pelanggaran undang-undang.

Ditanya sama ada SPR akan menarik pencalonan Abu Backer Sidek dalam pilihan raya kecil itu, Abdul Ghani berkata: "Setakat ini kami tidak menarik pencalonannya...sebab dia dah bayar deposit, sebaik dah jadi calon, calon itu tidak boleh tarik diri".

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Balai Polis Air Itam, di sini, Rabu.

Semalam, Abu Backer Sidek, 46, tiba di hadapan pintu pagar DUN Pulau Pinang pada 1 tengah hari untuk menghantar surat jemputan kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng bagi menghadiri ceramah penerangan anjurannya tentang hukum Hudud di Farlim, Air Itam pada 23 Mei ini.

Abu Backer Sidek dihalang sekumpulan pengawal keselamatan yang bertugas di DUN berkenaan daripada bertemu ketua menteri, ekoran itu beliau bertindak menahan kereta dinaiki Lim bersama-sama pembantunya yang ketika itu mahu meninggalkan dewan.

Berikutan tidak berpuas hati dengan tindakan pemandu kereta Lim yang tidak mahu berhenti, beliau nekad meluru ke arah kereta itu dan 'terjatuh' di atas jalan raya.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian itu.

"Setakat ini tidak terima apa-apa laporan," katanya.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan