Dyana Sofya Enggan Ulas Lanjut Berhubung Hudud

Diterbitkan: Selasa, 20 Mei 2014 7:15 PM

(Ubah saiz teks)

TELUK INTAN: Selepas menyatakan pendiriannya tentang isu hukum hudud baru-baru ini, calon DAP bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud hari ini cuba mengelak daripada mengulas lanjut isu itu.

Sebanyak lima kali soalan berhubung hudud dikemukakan oleh pemberita kepadanya dalam sidang media di Bilik Gerakan DAP di sini.

Dan setiap kali soalan itu diajukan, Dyana Sofya memberi jawapan hampir sama iaitu: "Saya tidak ada apa-apa lagi untuk ditambah."

Sebuah portal berita melaporkan Dyana Sofya berikrar untuk menentang mana-mana rang undang-undang yang dikemukakan di Parlimen untuk membolehkan hukum hudud dilaksanakan.

Peguam muda itu dilaporkan berkata beliau akan berpegang pada ikrar tersebut sekiranya terpilih mewakili Parlimen Teluk Intan.

Portal berita itu melaporkan Dyana Sofya bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau tidak menentang hudud, namun pelaksanaannya di Malaysia tidak boleh dijalankan selagi isu sosio-ekonomi tidak diatasi.

Kepada satu soalan adakah beliau tersinggung dengan kenyataan PAS yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan yang mahu beliau mendalami isu hudud, Dyana Sofya hanya menjawab: "Tidak."

Portal berita New Straits Times hari ini melaporkan pemangku timbalan ketua Majlis Ulama PAS Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata "adalah tidak wajar bagi seorang Islam untuk menolak hudud kerana ia akan menyebabkan pegangan agamanya dipersoalkan."

Walaupun dapat difahami bahawa calon DAP Dyana Sofya adalah betul dari segi politik untuk "mententeramkan" pucuk pimpinannya, beliau sepatutnya mendalami isu hudud.

Soalan dikemukakan kepada setiausaha politik penasihat DAP Lim Kit Siang itu turut dijawab oleh majikannya yang turut hadir dalam sidang media itu.
 
"Saya fikir kami patut belajar lebih banyak lagi tentang semua perkara," kata Lim yang juga anggota Parlimen Gelang Patah.

Lim dilihat sentiasa membantu Dyana Sofya menjawab soalan-soalan yang dilontarkan oleh pemberita terutama soalan tentang kenyataan dalam media sosial yang mendakwa beliau pengkhianat Melayu.

PRK Parlimen Teluk Intan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mah Siew Keong dan Dyana Sofya.

Pengundian awal akan diadakan 27 Mei ini, manakala pengundian ditetapkan 31 Mei. 

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lepas.

Tags / Kata Kunci: Dyana Sofya , hudud

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan