Polis Terima 9 Laporan

Diterbitkan: Isnin, 19 Mei 2014 3:30 PM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang mengesahkan menerima sembilan laporan berhubung kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Asisten Komisioner Azmi Adam berkata, daripada sembilan laporan yang diterima setakat ini, dua kertas siasatan dirujuk ke pejabat Pendakwaraya.

"Dua kertas siasatan itu melibatkan laporan kejadian ketika proses penamaan calon iaitu penggunaan alat muzik dan aduan berunsur rasis," katanya.

Bagaimanapun, Azmi berkata, suasana PRK yang memasuki hari kelapan kempen masih terkawal tanpa dicemari sebarang insiden tidak diingini.

"Keadaan terkawal dan kita harap semua calon mematuhi peraturan yang diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya.

"Kita akan meneruskan pemantauan bagi memastikan PRK Bukit Gelugor berjalan lancar sehingga hari mengundi," katanya.

Malah, beliau turut mengingatkan semua calon bertanding supaya memohon permit terlebih dahulu sebelum mengadakan sebarang ceramah dan kempen.

Ketika diminta mengulas mengenai dakwaan segelintir pihak yang mempersoalkan kredibiliti polis dalam mengawal PRK ini, Azmi berkata, pihaknya akan terus menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

"Mereka boleh kata apa saja tetapi kami akan terus jalankan tugas," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan