Pemilihan PKR: Kem Saifuddin Kuasai Naib Presiden

Diterbitkan: Isnin, 19 Mei 2014 7:18 PM

Saifuddin Nasution Ismail
(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Walaupun Datuk Saifuddin Nasution Ismail gagal mengungguli persaingan kerusi nombor dua Parti Keadilan Rakyat (PKR), tiga tonggak utama dari kemnya berjaya mengekalkan kedudukan teratas bagi jawatan Naib Presiden.

Sejak minggu pertama pemilihan, calon kem 'Masa Depan Bersama' yang diketuai Saifuddin iaitu Nurul Izzah Anwar, Tian Chua dan Mohd Rafizi Ramli secara konsisten tidak berganjak daripada kedudukan masing-masing.

Keputusan sehingga 11 Mei lalu, Nurul Izzah kekal mendahului apabila memperoleh 16,698 undi, manakala Tian (14,798) dan Mohd Rafizi (12,690).

Nurul Izzah, Tian Chua dan Mohd Rafizi mengungguli saingan jawatan Naib Presiden PKR.


Penguasaan pasukan Saifuddin bagi jawatan Naib Presiden itu menggagalkan usaha kem Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali untuk menguasai kepimpimpinan tertinggi PKR.

Calon dari kem Azmin dengan tema 'Keadilan Raya' iaitu Shamsul Iskandar Mohd Akin yang memperoleh 9,718 undi terpaksa berpuas hati apabila hanya berada di tangga ke empat bagi jawatan Naib Presiden.

Berada di belakang Shamsul Iskandar yang juga dari kem yang sama ialah Baru Bian (9,286) dan Dr Xavier Jayakumar (8,877).

Bagaimanapun, pasukan Azmin dilihat kekal menguasai pemilihan kali ini apabila sehingga kini wakilnya berjaya dipilih sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Ketua Wanita.

Bagi AMK, Amiruddin Shari yang diketahui menjadi penyokong kuat kepada Azmin makin hampir pasti dipilih sebagai ketua apabila mendapat 2,139 undi meninggalkan pencabar terdekatnya iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad yang memperoleh 2,051 undi.

Seorang lagi pencabar bagi jawatan itu, Mohd Nazree Yunus hanya mendapat 1,406 undi.

Sementara itu, bagi Ketua Wanita PKR, penyandang jawatan, Zuraida Kamaruddin yang juga dari 'orang kuat' Azmin masih di hadapan dalam pertembungan satu lawan satu dengan Rodziah Ismail.

Zuraida kini memperoleh 4,253 undi, manakala Rodziah hanya mendapat 3,964 undi.

Azmin sendiri hampir pasti mengekalkan kedudukannya di kerusi Timbalan Presiden bagi penggal kedua apabila meninggalkan jauh ke hadapan dua lagi pencabarnya iaitu Saifuddin dan dan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mohamed Azmin selesa ditangga teratas dengan 12,250 undi sementara Abdul Khalid dengan 8,123 undi dan Saifuddin mencatat 6,997 undi.

Sehingga kini, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR belum menentukan tarikh pemilihan semula bagi 27 cabang parti itu yang dibatalkan atas pelbagai masalah di mana 10 daripadanya adalah cabang dari Selangor.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan