PRK Teluk Intan: Mah Lwn Dyana Sofya

Diterbitkan: Isnin, 19 Mei 2014 10:39 AM

Dyana Sofya (kiri) dan Mah.

(Ubah saiz teks)

TELUK INTAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dan Dyana Sofya Mohd Daud dari DAP.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi PRK Teluk Intan, Datuk Ibrahim Ahmad membuat pengumuman itu selepas proses penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perak di sini.

Beliau berkata, Siew Keong menyerahkan borang pada pukul 9.03 pagi, manakala Dyana pada pukul 9.05 pagi.

Sementara itu, Siew Keong berkata, beliau mempunyai peluang 50-50 untuk merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan yang kini disandang DAP.

"Walaupun saya kalah dengan (majoriti) 7,000 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lalu tetapi sebagai Presiden Gerakan, saya mesti tanding. Saya tidak akan lari dari tanggungjawab.

"Ini bukan sesuatu yang sukar tetapi saya yakin dapat merampas semula kerusi Parlimen Teluk Intan," katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga, kiri) bersama calon BN Datuk Mah Siew Keong (dua, kanan) tiba di Pusat Penamaan Calon PRK Teluk Intan  di Sek Men Kebangsaan Seri Perak, Teluk Intan, Isnin. - fotoBERNAMA

Beliau menambah, keyakinan itu dapat dicapai menerusi kerja kuatnya bersama parti di samping mengharapkan kedua-dua pihak yang bertanding berkempen secara sihat.

Dyana Sofya pula berkata, pencalonan beliau bagi menyambung legasi kepimpinan penyandang kerusi Parlimen itu, mendiang Seah Leong Peng.

"Saya sebagai anak muda yang akan bertanding dengan seorang yang berpengalaman dan sangat dihormati di Teluk Intan.

"Bagi saya ia adalah cabaran yang harus disahut," katanya.

Dyana Sofya ketika tiba di pusat penamaan calon.

Pencalonan Mah dicadang oleh Setiausaha Agung MCA Perak, Datuk Seri Kuan Peng Soon dan dicadang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jong, Datuk Mohd Azhar Jamaludin, manakala Dyana Sofya pula dicadang dan disokong oleh ahli DAP iaitu Chang Kok Lim dan Pooi Weng Keong.

Dalam pada itu, Parti Berjasa dalam kenyataannya pada pagi Isnin mengumumkan menarik diri daripada bertanding PRK itu dengan harapan calon DAP menyokong usul hudud di Parlimen.

PRK Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Leong Peng akibat kanser pada 1 Mei lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei tahun lalu, Leong Peng  mengalahkan Siew Keong dan calon bebas, K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan