Jemaah Umrah Meninggal Dalam Pesawat, Tiada Kaitan MERS-CoV

Diterbitkan: Ahad, 18 Mei 2014 7:11 PM

Gambar Hiasan. Jemaah umrah berangkat menunaikan ibadat ke tanah suci.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas meninggal dunia dalam penerbangan pulang daripada mengerjakan umrah bersama keluarga, Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan awal bedah siasat bagaimanapun mendapati wanita berusia 89 tahun itu negatif jangkitan Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV), namun menghidap pneumonia.

Beliau dikatakan mengalami sesak nafas dalam penerbangan dari Jeddah ke Kuala Lumpur sebelum disahkan meninggal dunia.

Menurut Dr Noor Hisham, jemaah itu mengalami demam, batuk dan kesukaran bernafas selama tiga hari ketika berada di tanah suci dan tidak pernah mendapatkan rawatan ketika di sana.

"Anggota keluarga juga memaklumkan beliau adalah penghidap asma, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung serta sedang dalam rawatan sebelum mengerjakan umrah," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Beliau berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan akhir bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian wanita berkenaan.

"Sebagai langkah pencegahan semua 107 penumpang dan 12 anak kapal yang menaiki pesawat bersama-sama wanita tersebut telah menjalani ujian saringan MERS-CoV," katanya.

Tiga daripada mereka mengalami demam ringan, manakala seorang lagi batuk dan keempat-empat mereka diberi rawatan simptomatik selain dinasihati mendapatkan rawatan susulan jika tidak sembuh dalam tempoh 14 hari daripada tarikh ketibaan.

Kejadian ini adalah yang kedua dan jemaah terbabit disahkan bebas sindorm penyakit yang boleh membawa maut itu.

Malaysia merekodkan kematian pertama akibat MERS-CoV pada 13 April lepas apabila lelaki berusia 54 tahun meninggal dunia susulan pneumonia yang teruk akibat dijangkiti virus tersebut.

Lelaki berkenaan yang berasal dari Batu Pahat, Johor mengerjakan umrah pada Mac dan mengadu demam serta sukar bernafas kira-kira 10 hari selepas kembali ke tanah air dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Johor pada 10 April.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan