Seludup Diesel: 230 Stesen Minyak Disyaki Bersubahat

Diterbitkan: Ahad, 18 Mei 2014 9:43 AM

Gambar Hiasan. Pegawai Penguatkuasa KPDNKK menyita pam diesel di sebuah stesen minyak di Seberang Prai dalam operasi baru-baru ini.

(Ubah saiz teks)

EKSKLUSIF PUTRAJAYA: Sebanyak 230 stesen minyak terutama di kawasan  sempadan, pelabuhan, lebuh raya dan perindustrian disyaki  bersubahat dengan sindiket penyeludupan diesel.

Maklumat risikan yang didedahkan kepada mStar Online itu adalah hasil pemerhatian pihak berkuasa berdasarkan lokasi dan kuantiti jualan minyak diesel di stesen minyak terbabit.

Berdasarkan pemerihatian kementerian, sebanyak 230 daripada hampir 3,400 stesen minyak di seluruh negara itu direkodkan dalam Senarai Pemerhatian Utama (Priority Watch List).

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad tidak menafikan ada segelintir pengusaha stesen minyak bersubahat kerana boleh mendapatkan diesel secara terus dari depot minyak.

“Mereka (pengusaha) membuat pesanan diesel untuk dibawa ke stesen minyak tetapi sebaik sahaja lori tangki membawa keluar minyak dari depot, arahan baharu akan diberi kepada pemandu lori untuk menukar destinasi penghantaran ke tempat lain.

"Bekalan diesel ini seterusnya akan dihantar ke destinasi baharu, terutama di kawasan perindustrian iaitu di kilang yang tidak mendapat susbsidi minyak,” katanya kepada mStar Online dalam satu temubual.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai kegiatan sindiket penyeludupan diesel yang dipercayai berlaku di depot minyak negara ini.

Sejak 2007 sehingga 25 April lalu, pihaknya merekodkan sebanyak 3,555 kes membabitkan diesel dengan nilai rampasan mencecah RM77.65 juta.

Alias berkata, taktik yang digunakan pengusaha stesen minyak untuk mengaburi mata pihak berkuasa adalah dengan menggunakan lori tangki ‘tidak bertanda’.

“Mereka dipercayai akan menggunakan lori tangki tanpa pengenalan atau lambang syarikat minyak yang mengendalikan stesen minyak,” katanya.

Walaupun perkara itu masih di dalam risikan, Alias berkata, KPDNKK melakukan pemantauan dengan mengarahkan syarikat minyak mengemukakan maklumat penghantaran minyak ke stesen minyak secara berkala.

Alias berkata, ketika ini, kawalan terhadap stesen minyak  dilaksanakan dengan menetapkan kuota jualan minyak diesel antara 40,000 liter hingga 800,000 liter sebulan.

Selain itu, katanya, kerajaan juga mengehadkan waktu operasi stesen minyak dalam lingkungan 10 kilometer (km) dari sempadan negara jiran sehingga pukul 10 malam sahaja dan jualan diesal pada kadar 20 liter kepada kenderaan asing bagi stesen minyak yang berada dalam lingkungan 50 km dari sempadan.

"Pemantauan turut diberikan kepada stesen minyak di kawasan pembalakan di Sabah dan Sarawak, termasuk stesen minyak yang didapati berlaku peningkatan jualan diesel tidak munasabah," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan