MAS Didakwa Henti Khidmat Kebajikan Keluarga Kru MH370

Diterbitkan: Ahad, 18 Mei 2014 11:48 PM

Antara ahli keluarga kru pesawat MH370 yang mendakwa pihak pengurusan MAS menghentikan perkhidmatan penjaga kebajikan atau 'caregiver' kepada mereka.

(Ubah saiz teks)

SUBANG JAYA: Anggota keluarga kru pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 mendakwa pihak pengurusan MAS menghentikan perkhidmatan penjaga kebajikan atau 'caregiver' kepada mereka menerusi e-mel Jumaat lepas.

Perkhidmatan yang disediakan MAS itu bertindak sebagai pengagih maklumat berkaitan perkembangan terbaharu MH370, termasuk pemudah cara dalam urusan menyalurkan bantuan kepada anggota keluarga kru pesawat berkenaan sejak pesawat berkenaan hilang pada 8 Mac lepas.

Melanie Antonio, isteri Andrew Nari yang juga Ketua Pramugara pesawat itu, berkata segala urusan berkaitan maklumat terkini MH370 termasuk kebajikan anggota keluarga dan pampasan kini perlu dilakukan melalui peguam pihak MAS.

"Semua perkara seperti mahu tahu perkembangan baharu bagi operasi SAR (mencari dan menyelamat) MH370, termasuk perubatan dan juga urusan tiket penerbanganpun mesti menerusi peguam," katanya dalam sidang media yang turut dihadiri lima anggota keluarga kru lain serta anak perempuannya, Maira Elizabeth Nari.

Beliau berkata situasi itu merumitkan anggota keluarga terbabit bagi mendapatkan sebarang bantuan daripada pihak pengurusan MAS kerana perlu melalui proses yang panjang.

Melanie mendakwa khidmat penjaga kebajikan itu dihentikan kerana beliau dan enam lagi anggota keluarga kru pesawat malang berkenaan bertindak melantik peguam pada April lepas.

"Selepas MAS mendapat tahu lantikan peguam ini, segala urusan berkaitan MH370 kami perlu bagitahu peguam kami, kemudian peguam kami akan maklumkan kepada peguam MAS. Adakah ini tidak merumitkan kami yang masih bersedih dengan kehilangan orang tersayang?" soal beliau."

Lee Khim Fatt, yang merupakan suami pramugari Foong Wai Yueng, pula mendakwa tindakan menghentikan perkhidmatan itu adalah sesuatu yang tidak adil kepada anggota keluarga.

Beliau berkata lantikan peguam itu hanya sebagai penasihat undang-undang dalam urusan menandatangani pelbagai dokumen berkaitan MH370 berikutan terdapat terma yang tidak difahami dari aspek undang-undang.

"Kami tidak boleh menandatanganinya jika kami tidak faham terma berkenaan. Bukan tujuan kami melantik peguam lawyer ini untuk mendapatkan sebarang manfaat daripada MAS, ia hanya untuk mendapatkan nasihat dari segi perundangan," katanya.

Sementara itu, Calvin Shim, yang merupakan suami pramugari Christine Tan, meminta pihak pengurusan MAS terus berhubung dengan anggota keluarga kru dan menyampaikan maklumat berkaitan perkembangan terkini operasi SAR MH370 setiap hari.

Beliau mendakwa kali terakhir mendapat kemas kini status penyiasatan MH370 ialah pada 1 Mei.

"Sebelum ini, kami semua menerima status terkini penyiasatan MH370 dari MAS menerusi e-mel namun selepas 1 Mei, kami hanya mendapat maklumat berkaitan perkara itu daripada laporan media," katanya.

Dalam pada itu, Calvin yang mewakili anggota keluarga kru terlibat, mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas keprihatinan beliau terhadap kebajikan mereka.

Pihak pengurusan MAS bagaimanapun gagal dihubungi bagi mendapat maklum balas berhubung perkara itu.
Tags / Kata Kunci: MAS , MH370

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan