PAS Nafi Mohamed Nabi Bux Ahli Parti

Diterbitkan: Jumaat, 16 Mei 2014 2:22 AM

Mahfuz ketika menyampaikan ceramah di hadapan kira-kira 50 hadirin di Jalan Bunga Raya, Gelugor, malam Khamis.

(Ubah saiz teks)

GEORGETOWN: PAS sekali lagi menafikan calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Abd Sathar yang bertanding di Parlimen Bukit Gelugor bukan ahli parti itu.

Ketua Penerangannya, Datuk Mahfuz Omar berkata, berdasarkan pemeriksaan rekod keahlian di Pejabat Agung PAS  mendapati nama Mohamed Nabi tiada dalam senarai ahli parti.

"Saya bercakap berasaskan tiada rekod menunjukkan dia ahli PAS. Pemeriksaan telah dilakukan tapi keahliannya tiada dalam rekod di cawangan Kampung Banjar.

"Saya tak tahu mana dia dapat sijil keahlian itu. Kalau dia tetap dakwa sebagai ahli PAS tiada masalah," katanya ketika ditemui pemberita selepas ceramah di Bilik Gerakan Parti Keadilan Rakyat di Jalan Bunga Raya, Gelugor, malam Khamis.

Jelas Mahfuz sekiranya Mohamed Nabi tetap menegaskan dirinya masih ahli PAS,  perkara itu akan dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti kerana dia telah mengambil langkah bertentangan dengan pendirian parti.

"Jika dia tetap mendakwa dirinya ahli PAS, saya serah kepada jawatankuasa disiplin untuk menentukan kedudukan beliau.

"Kalau dia ahli PAS dia telah melanggar keputusan parti yang menyokong calon DAP, Ramkarpal Singh untuk bertanding di Parlimen Bukit Gelugor," katanya.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena sekali lagi mendakwa Mohamed Bux merupakan ahli Umno.

"Memang dia ahli Umno. Nombor keahliannya juga tersebar luas di Internet," katanya.

Terdahulu ketika menyampaikan ceramah di hadapan kira-kira 50 hadirin di Jalan Bunga Raya di Gelugor, malam Khamis, Mahfuz mempertikaikan dan memfitnah  pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) untuk menagih simpati rakyat serta memancing undi.

"Mereka janjikan sesuatu untuk ringankan beban rakyat tetapi sekarang masih lagi tercari-cari cara terbaik menangani masalah ini.

"Namun, kerajaan tetapi beri BR1M yang dianggap bukan penyelesaian sebenar untuk membantu mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat, " katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan