Visa Umrah Dikurangkan Kerana Virus MERS-CoV - Jamil Khir

Diterbitkan: Khamis, 15 Mei 2014 7:28 PM

Jamil Khir

(Ubah saiz teks)

GURUN: Kerajaan Arab Saudi mengurangkan kuota visa bagi menunaikan umrah dalam usaha membendung penularan wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah-Virus Korona (MERS-CoV), kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jamil Khir berkata kerajaan Arab Saudi mahu mengurangkan bilangan jemaah umrah berikutan wabak berkenaan dan ini menunjukkan kerajaan negara itu memandang serius penularan virus itu.

Katanya kerajaan Arab Saudi bersungguh-sungguh untuk menangani wabak berkenaan, sehubungan itu pihaknya akur dan akan mengikut segala arahan yang dikeluarkan Arab Saudi.

Katanya tindakan itu mungkin akan menyebabkan masalah kerana permintaan rakyat negara ini untuk mengerjakan umrah tinggi pada bulan Rejab dan Syaaban serta cuti persekolahan hujung bulan ini, selain ramai yang telah berdaftar dengan ejen untuk mengerjakan umrah.

"Yang telah berdaftar perlu timbangkan semula pengurangan visa umrah itu kerana ia untuk kebaikan semua pihak. Saya yakin selepas masalah virus itu berkurangan semuanya akan berjalan seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Guru 2014 Peringkat Parlimen Jerai di sini, Khamis.

Anggota Parlimen Jerai itu berkata rakyat negara ini perlu memberi peluang kepada kerajaan Arab Saudi untuk menangani masalah tersebut sehingga selesai dengan mengikuti segala arahan yang dikeluarkan.

Mengenai cadangan diwujudkan undang-undang sihir bagi membela mangsa yang terkena sihir, Jamil Khir berkata perkara itu perlu dikaji dengan lebih teliti terlebih dahulu dalam pelbagai aspek sebelum menggubal undang-undang berkenaan.

"Kita perlu lihat dari segi mahkamah mana untuk menjalankan perbicaraan dan saksi pendakwaan untuk mendakwa orang yang melakukan sihir terhadap sesorang serta bimbang sekiranya undang-undang tersebut digubal kelak, kita tidak mampu untuk melaksanakan undang-undang itu," katanya.

Sebuah akhbar melaporkan undang-undang berkaitan jenayah sihir sedang digubal oleh Jawatankuasa Kajian Undang-undang Sihir yang kini di peringkat akhir melengkapkannya.

Jawatankuasa itu dilaporkan berkata adalah wajar untuk mewujudkan undang-undang sihir bagi membela mangsa yang terkena sihir dengan mengenakan tindakan mahkamah terhadap pelaku sihir.

Pada Sambutan Hari Guru itu, Jamil Khir menyumbangkan RM53,900 untuk diagihkan kepada sekolah-sekolah terpilih di Parlimen Jerai bagi meningkatkan prestasi peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Tags / Kata Kunci: MERS , virus , umrah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan