Salah Faham Tarikh Kahwin Anak Punca Letak Jawatan, Keluar Umno - Ahmad Said

Diterbitkan: Khamis, 15 Mei 2014 10:14 AM

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Siapa sangka kemelut politik Terengganu yang tercetus sejak Isnin berlaku hanya kerana salah faham berhubung tarikh berlangsungnya majlis perkahwinan anak bekas Menteri Besar Terengganu.

Datuk Seri Ahmad Said sendiri mengakui salah faham itu menjadi punca peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar dan seterusnya keluar Umno.

Walaupun ia hal peribadi, namun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal itu mengganggap tindakan kepemimpinan tertinggi parti menolak permohonannya untuk menangguh pelantikan Menteri Besar baharu sehingga selesai majlis itu mencemar maruahnya.

Krisis yang mengheret kepada tiga wakil rakyat Barisan Nasional (BN) termasuk Ahmad keluar Umno, sekali gus membawa kepada kemungkinan pilihan raya diadakan itu akhirnya terungkai pada hari ketiga.

Ahmad mengadakan sidang media khas selama kira-kira 20 minit  selepas menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi menyelesaikan isu hangat itu apabila kedua-duanya mengakui kesilapan masing-masing dan bermaafan.

Berikut adalah kenyataan Ahmad ketika ditemui media di kediamannya di Kampung Teluk Kalong, Kijal, Kemaman pada petang Rabu.

Ahmad: Saya dah bincang dengan PM (Perdana Menteri) tengah hari tadi (Rabu) dan beliau mengaku sedikit kesilapan berlaku, salah faham dan sebagainya kerana saya beritahu, saya nak kahwinkan anak 17 hari bulan (17 Mei) dan PM kata itu masalah personal.

Jadi, agak teganglah antara saya dengan beliau dan akhirnya perkara itu terjadi. Sebab ini membabitkan anak saya dan maruah saya. Saya meletak jawatan.

Akhirnya, sebagai pemimpin besar, PM akui sama ada sedar atau tidak, beliau tak ingat saya nak kahwinkan anak 17 hari bulan. Dia ingat, bagi dia 10 hari bulan majlis dah selesai. Sedangkan 17 hari bulan di sini ada lagi dan satu lagi di Kuala Lumpur dan dia minta maaf pada saya dan saya juga minta maaf atas apa yang telah saya lakukan.

Sebagai orang UMNO sejak berumur 18 tahun saya berjuang dengan UMNO, saya buat keputusan untuk tarik balik peletakan jawatan sebagai ahli UMNO dan wakil rakyat DUN Kijal bersama Ghazali Taib. Kes ini selesai dan kami kekal sebagai Adun UMNO.

Menjelaskan lebih lanjut, Ahmad yang kelihatan ceria di sebalik pelbagai kontroversi yang timbul berkata, tarikh 10 Mei ditetapkan untuk majlis perkahwinan anaknya kerana beliau menjemput Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Seminggu selepas itu rumah saya (17 Mei), selepas itu rumah besan saya pula (31 Mei).

"Tuanku yang tetapkan tarikh itu (10 Mei) dan kebetulan 9 haribulan hari jadi anak saya. Bukan suka-suka saya tetapkan tarikh," katanya menjawab dakwaan mengatakan beliau sengaja menetapkan majlis perkahwinan itu selepas tarikh beliau sepatutnya meletak jawatan.

Ahmad juga mengesahkan beliau bersama Adun Ajil, Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi, Roslee Daud menarik balik surat keluar Umno dan terus setia kepada parti.

"Semuanya sudah berakhir dan kini saya bersama parti yang saya sayangi, balik kepada asal," katanya.

Beliau turut berikrar akan menyokong kepemimpinan Menteri Besar baharu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman untuk menjamin keutuhan Umno di Terengganu.

"Saya sebenarnya tidak pernah berdendam dengan sesiapa. Bagi saya mudah, orang buat baik dengan saya, saya buat lembut. Saya tak boleh orang berkasar dengan saya. Itu saja," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan pihak tertentu bahawa beliau seorang pengkhianat, Ahmad berkata: "Soal pengkhianat tak timbuul. Ini soal perjuangan kerana saya sayangkan Umno, saya kembali semula. Kalau saya nak jadi pengkhianat, saya dah bergabung dengan PAS baru-baru ini."

Malahan, beliau juga mengakui ada didatangi wakil PAS yang menyatakan pendirian parti itu untuk mengekalkannya sebagai Menteri Besar jika beliau bersama mereka menubuhkan kerajaan baharu.

"Saya dah cakap dengan PM dan ucap terima kasih atas persefahaman kami. Saya harap kita terus beri sokongan kepada Najib dan berusaha untuk kekalkan Terengganu berada di bawah pemerintaan BN," katanya.

Berikutan keputusan Ahmad bersama dua wakil rakyat lain untuk kembali bersama Umno, BN kini mengekalkan kuasa di Terengganu dengan 17 kerusi, manakala Pakatan Rakyat 15 termasuk PAS (14) dan satu Parti Keadilan Rakyat.


iklan

Kolumnis

iklan

Iklan