Jawatankuasa Khas Kabinet Hadapi El Nino - Ongkili

Diterbitkan: Khamis, 15 Mei 2014 11:58 PM

Maximus Ongkili

Dr Maximus Ongkili

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Satu jawatankuasa khas Kabinet ditubuhkan untuk menghadapi cuaca kering dan fenomena El Nino yang dijangka melanda negara ini, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili Khamis.

Beliau berkata kabinet semalam memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan KeTTHA sebagai sekretariat.

"Jawatankuasa Khas Kabinet ini akan memantau impak cuaca kering daripada berbagai aspek termasuk perubahan iklim, kesihatan dan pertanian.

"Selain itu, penubuhan jawatankuasa akan membolehkan pemantauan dan pelaksanaan langkah-langkah mitigasi di peringkat nasional yang lebih menyeluruh bagi menyiapsiagakan negara untuk berdepan dengan fenomena El Nino ke atas semua sektor ekonomi dan sosial yang menggunakan air," katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis. 

Ongkili berkata anggota jawatankuasa itu adalah seperti Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Kewangan serta Majlis Keselamatan Negara.
 
Ongkili berkata jawatankuasa khas kabinet itu akan mengambil alih peranan Jawatankuasa Krisis Air yang telah ditubuhkan oleh KeTTHA dengan Timbalan Menteri KeTTHA sebagi pengerusinya berikutan cuaca panas dan kering dari bulan Januari hingga Mac lalu sehingga berlakunya catuan air.

"Catuan air ini telahpun dihentikan mulai 1 Mei 2014 kerana hujan yang turun mulai bulan April yang lalu telah sedikit sebanyak meningkatkan simpanan air mentah di lembangan sungai dan empangan," katanya. 

Ongkili berkata baru-baru ini Jabatan Meteorologi Malaysia telah membuat ramalan bahawa negara dijangka mengalami Monsun Barat Daya iaitu musim kering pada bulan Jun sehingga September tahun ini.

Selain itu, ramalan Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO) bahawa fenomena El Nino berkemungkinan berlaku pertengahan tahun ini yang boleh berlanjutan antara enam hingga 18 bulan akan lebih memburukkan keadaan bekalan air negara khususnya bagi negeri Selangor dan Kuala Lumpur yang paling teruk terjejas semasa cuaca kering yang lalu akibat kekurangan simpanan air mentah.

Dalam pada itu, Ongkili meminta semua kerajaan negeri mengambil langkah-langkah segera bagi memastikan simpanan air mentah mencukupi dan menjaga sumber air masing-masing bagi mengelakkan masalah ketidakcukupan bekalan air terawat kepada para pengguna. 

Ongkili menyaran para pengguna domestik dan industri supaya sentiasa menggunakan air secara berhemat selain itu, pihak industri perlu mengambil langkah-langkah alternatif yang boleh mengurangkan impak krisis air seperti menggunakan air bawah tanah, mengitar semula air, menggunakan kelengkapan cekap air dan meningkatkan kapasiti tangki simpanan air. 

"Apabila semua pihak memberikan kerjasama sepenuhnya dan memainkan peranan masing-masing, saya pasti simpanan air mentah boleh bertahan lebih lama dan kita dapat mengurangkan impak Monsun Barat Daya dan El Nino. 

"Langkah-langkah yang akan diambil oleh Jawatankuasa Khas Kabinet ini juga memerlukan kerjasama semua pihak supaya bebanan impak dan kesan cuaca kering ini ke atas rakyat di seluruh negara dapat dikurangkan ke kadar minima," katanya.
Tags / Kata Kunci: el nino , Ongkili , kabinet

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan