Anwar Tiada Hak Beri Ceramah Agama - Dr Mahathir

Diterbitkan: Rabu, 14 Mei 2014 10:21 PM

Anwar Ibrahim

Anwar Ibrahim

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyelar tindakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ceramah mengenai tamadun dan nilai-nilai Islam di sebuah universiti di Indonesia, baru-baru ini.

Dr Mahathir berkata Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak mempunyai hak untuk menyampaikan kuliah agama kerana beliau sendiri berdepan dengan isu moral.

"Kalau nak cakap pasal Islam mesti praktik sekurang-kurangnya, tidak buat yang dilarang oleh agama.

"Saya hairan kerana diterima orang macam ini (Anwar) cakap pasal tajuk yang dia tiada hak sama sekali," katanya kepada pemberita selepas menerima anugerah Doktor Kehormat dari Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah di sini, Rabu.

Pada masa sama, Dr Mahathir hairan dengan tindakan penganjur yang sanggup mengundang Anwar untuk memberi ceramah berkaitan agama.

Beliau berkata ramai dalam kalangan pemimpin yang bercakap mengenai Islam tetapi dari segi amalan dan cara hidup mereka berbeza dengan apa yang dituntut oleh agama.

Media Indonesia baru-baru ini, melaporkan Anwar diundang untuk menyampaikan ceramah eksekutif bertajuk 'Nilai-Nilai Islam dan Kebangkitan Semula Ummah Islam' di kampus Universiti Al-Azhar Indonesia.
Tags / Kata Kunci: Dr Mahathir , Anwar Ibrahim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan