Malaysia Mampu Capai Status Negara Berpendapatan Tinggi Lebih Awal - Najib

Diterbitkan: Selasa, 13 Mei 2014 12:54 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Malaysia kini berada pada landasan yang kukuh untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020, malah mungkin mampu mencapai sasaran itu lebih awal daripada jangkaan.

Kemajuan ini berlandaskan kepada hasil momentum kukuh Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang diperkenal pada 2010, sepanjang tiga tahun lalu, sekali gus membantu ekonomi Malaysia mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.7 peratus pada 2013.

Pada 2013 sahaja, ETP menyumbang RM7.4 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK), mewujudkan 29,373 peluang pekerjaan baharu dan memacu pelaburan bernilai RM8 bilion, kata beliau dalam ucapannya yang terkandung dalam Laporan Tahunan 2013 ETP yang dikeluarkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) di sini hari ini.

Kejayaan ini diraih dalam situasi negara berdepan persekitaran luar yang masih tidak menentu walaupun terdapat tanda-tanda pemulihan ekonomi secara beransur-ansur sejak kemelesetan kewangan dunia pada 2008/2009.

Sejak 2010, sebanyak 196 projek dilancarkan menerusi NKEA, mencakupi sejumlah RM219.3 bilion pelaburan komited. Ini seterusnya dijangka mampu menjana RM144 bilion dalam PNK dan mewujudkan 437,816 peluang pekerjaan baharu.
 
"Kesemua aktiviti ini telah meningkatkan PNK per kapita negara kepada US$10,060 pada 2013. Namun, angka-angka ini hanyalah sebahagian daripada kisah perjalanan transformasi negara kita.
 
"Yang lebih menggembirakan saya tentang ETP ialah keupayaannya untuk mempertingkat mutu kehidupan rakyat, sama ada menerusi projek yang memfokuskan penambahbaikan masyarakat setempat atau prakarsa berskala besar seperti pembinaan sistem Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) yang dilaksanakan menerusi NKEA Greater Kuala Lumpur/Lembah Klang," katanya.

Projek-projek ini dilaksanakan berteraskan potensinya untuk menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada rakyat, menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan merangsang kesan limpahan dalam seluruh ekonomi negara.

Mengimbas kembali, ETP menggabungkan dua komponen.

Pertama, 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang akan memfokuskan pertumbuhan ekonomi dan kedua, enam Inisiatif Pembaharuan Strategik (SRI) yang merangkumi dasar dan prosedur yang dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang berdaya saing dan dinamik.

Gabungan komponen ini disasarkan untuk melonjakkan PNK per kapita Malaysia kepada US$15,000, menyediakan 3.3 juta peluang pekerjaan baharu dan menarik pelaburan berjumlah US$444 bilion menjelang 2020.

Perdana menteri menjelaskan ETP turut mengorak pencapaian besar dalam menyokong pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan tulang belakang ekonomi negara.

Beliau juga berkata transformasi Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi turut bergantung pada keupayaan kerajaan untuk membuktikan daya tahan fiskalnya, seperti yang dilaksanakan untuk pertumbuhan ekonomi.

Dalam konteks ini, SRI Pembaharuan Kewangan Awam telah memain peranan penting dalam melaksanakan komponen yang diperlukan oleh Kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskalnya.
 
"Langkah ini termasuk mengurus pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), yang merupakan peralihan ke arah struktur hasil bagi sebuah ekonomi maju yang akan membolehkan kutipan cukai yang lebih cekap daripada asas cukai yang lebih meluas," kata Najib.

ETP turut memainkan peranan penting dalam menyokong daya saing negara pada peringkat global, dan langkah-langkah yang diambil nyata sudah membuahkan hasil.

Contohnya, dalam Indeks Mudah Menjalankan Perniagaan 2014 Bank Dunia, Malaysia mengekalkan kedudukannya di tangga sepuluh negara teratas pada 2013 dan 2014, masing-masing pada kedudukan kelapan dan keenam.

Dalam kenyataannya, Najib turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat serta sektor swasta yang telah memberikan kerjasama yang padu dalam perjalanan transformasi negara.

Namun, tegas beliau, walaupun telah berjaya mencatatkan pencapaian, memandangkan tahun 2020 bakal menjelang tidak lama lagi, momentum yang telah digarap dikekalkan dan memastikan negara terus berada pada landasan ekonomi yang tepat.
 
"Dengan kerjasama berterusan oleh semua pihak berkepentingan, saya yakin kita semakin hampir mencapai matlamat yang telah ditetapkan oleh Wawasan 2020: Status Negara Maju," katanya.

Tags / Kata Kunci: ETP , EPP

iklan

Video

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Kolumnis

iklan

Iklan