Analisis: Antara Keputusan Bijak MCA Dan Kemenangan Ramkarpal

Diterbitkan: Selasa, 13 Mei 2014 9:11 AM

(Ubah saiz teks)

MENGALAH itu tidak bererti kalah. Pepatah ini tepat menggambarkan tindakan MCA yang membuat keputusan untuk tidak menurunkan calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor pada 25 Mei ini.

Sebagai sebuah parti yang masih dalam proses memulihkan imejnya untuk menggembalikan keyakinan pengundi Cina di negeri tersebut, keputusan MCA itu dianggap satu langkah bijak.

Walaupun pada hakikatnya, ramai beranggapan DAP punya peluang besar untuk menang dengan majoriti lebih tinggi, pelbagai faktor turut diambil kira MCA sebelum keputusan tersebut diambil.

Selain faktor lebih 40,000 majoriti undi yang diperoleh mendiang Karpal Singh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), Mei tahun lalu, pemergian peguam itu akibat kemalangan jalan raya dipercayai dapat memberikan undi simpati dengan mudah kepada DAP.

Karpal yang juga bekas pengerusi DAP, meraih majoriti 42,706 undi, ketiga tertinggi selepas Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dari DAP yang memperoleh 51,552 majoriti undi dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Sim Chee Keong, juga dari DAP, sebanyak 43,063 majoriti undi.

Menurut Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Madya Dr Sivamurugan Pandian masyarakat Cina khususnya di Parlimen  Bukit Gelugor sukar untuk memberikan undi kepada MCA ditambah dengan sentimen politik negeri yang memihak kepada DAP.

"Dalam sejarah Bukit Gelugor, MCA tidak ada pengaruh yang kuat. Pengundi akan memberikan undi kepada DAP kerana faktor simpati dan faktor mengenang budi Karpal Singh.

"Jadi tindakan MCA mengumumkan untuk tidak bertanding merupakan satu langkah bijak setelah pelbagai faktor diambil kira," katanya.

Berdasarkan senarai daftar pemilih setakat 17 April lalu, terdapat 82,431 pengundi berdaftar dengan 61,112 Cina, 11,880 Melayu, 8,660 India dan 390 kaum lain di Bukit Gelugor.

Kawasan parlimen ini mempunyai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Seri Delima, Paya Terubong dan Air Itam, yang kesemuanya dimenangi calon DAP.

Malah, Sivamurugan berkata sudah tiga penggal DAP menguasai Parlimen itu dan ternyata Karpal berjaya meningkatkan undi hampir 100 peratus sejak 2004.

Katanya, DAP tidak mengambil masa lama untuk memilih calon yang dirasakan layak dengan meletakkan anak ketiga Karpal, Ramkarpal Singh Deo bagi memastikan legasi Harimau Jelutong tidak lenyap begitu sahaja.

"Siapapun yang diturunkan tidak jadi masalah kerana Bukit Gelugor adalah kubu kuat DAP. Saya percaya DAP tidak berdepan laluan sukar pada PRK kali ini. Hanya calon Parti Cinta Malaysia yang dilihat mampu menjadi ancaman kepada DAP," katanya.

Jelas beliau, tindakan DAP yang dilihat mengamalkan amalan nepotisme dengan menurunkan calon yang juga anak Karpal tidak akan menjejaskan undi kaum Cina di kawasan tersebut.

"Amalan nepotisme adalah persoalan kedua kerana ia merupakan lumrah politik yang berlaku di dalam PAS, Parti Keadilan Rakyat, Umno dan MIC sendiri.  Apa yang dilihat pada calon itu adalah kewibawaannya dalam memikul tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen selepas ini," katanya.

Sivamurugan berkata, walaupun MCA tidak bertanding, penyelaras Barisan Nasional (BN) di Parlimen itu harus memastikan kebajikan pengundi yang tetap setia dan memberikan sokongan kepada parti itu pada PRU-13 yang lalu terus terpelihara.

Katanya, paling utama, MCA perlu meyakinkan penyokong mereka bahawa keputusan itu  diambil kerana matlamat yang lebih besar iaitu kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang.

"Keputusan tidak bertanding membuktikan MCA sedang berusaha memperbaiki kelemahan parti secara jangka masa panjang dan turut memberi ruang kepad BN untuk membaikpulih kedudukan mereka di negeri itu," katanya.

Dalam situasi ini, jelas bahawa Parlimen Bukit Gelugor bukan medan untuk menguji penerimaan masyarakat Cina terhadap parti itu kerana MCA sudah boleh menilai bentuk sokongan tersebut dalam PRK Kajang yang lalu.

Tiba masanya untuk parti itu mengorak langkah bagi meningkatkan keyakinan ramai terhadap keupayaan parti itu membela nasib kaum Cina tempatan, bukan sekadar tempelan dalam komponen BN.

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan