GTP 2013 Rekod Pencapaian Cemerlang Walau Berdepan Pelbagai Cabaran - Muhyiddin

Diterbitkan: Isnin, 12 Mei 2014 10:20 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pencapaian Program Transformasi Kerajaan (GTP) bagi tahun 2013 adalah jauh lebih cemerlang meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Timbalan Perdana Menteri berkata sumbangan dan perubahan yang dilakukan di dalam tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) memberi petanda baik terhadap usaha transformasi kerajaan ke arah menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Katanya, setiap NKRA mempunyai pencapaian yang tersendiri, namun selaku Menteri Pendidikan beliau tentunya mengambil berat terhadap pencapaian NKRA Memastikan Pendidikan Berkualiti.
 
"Saya berbesar hati melaporkan bahawa integrasi NKRA Memastikan Pendidikan Berkualiti ke dalam rangka kerja keseluruhan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah berjalan dengan lancar, diterajui sebuah unit di bawah Kementerian Pendidikan, iaitu Unit Prestasi dan Penyampaian Pendidikan (PADU).
 
"Usaha dalam bidang ini memfokuskan penambahbaikan unsur-unsur asas dan tidak berapa lama lagi, impak inisiatif-inisiatif ini dapat dilihat dengan jelas melalui sistem pendidikan negara," katanya dalam mesej Timbalan Perdana Menteri Laporan Tahunan GTP 2013 yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak malam ini.

Muhyiddin berkata usaha NKRA Pendidikan mentransformasikan sistem pendidikan negara, terutamanya dalam bidang pembaharuan pakej kerjaya guru dan pengetua diterjemahkan secara langsung dalam bentuk pencapaian pelajar yang lebih cemerlang, dicerminkan oleh penyusutan dalam jumlah Band 6 dan Band 7 di dalam negara.

Tambahnya, usaha NKRA Memastikan Pendidikan Berkualiti menjalankan audit dan mengesahkan pencapaiannya sendiri merupakan penelitian yang akan memastikan negara berada di landasan betul dalam konteks mencapai matlamat GTP, di mana ia juga merupakan contoh tindakan yang sememangnya dijangkakan daripada GTP secara keseluruhan.

Berhubung NKRA lain, Muhyiddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Petugas Pelaksanaan (DTF) berkata proses pelaporan bagi 2013 telah dilaksanakan mengikut standard ketelusan terbaik, menyaksikan NKRA Mengurangkan Jenayah mengambil tindakan yang pantas dan tegas sebagai respons terhadap siri keganasan menggunakan senjata api yang akhirnya dapat diselesaikan dengan cepat.

Timbalan Perdana Menteri berkata NKRA Membanteras Rasuah pula terus mencatat kemajuan yang kukuh dalam peperangan membanteras rasuah menerusi kerjasama dengan Jabatan Audit Negara untuk mentransformasikan proses pelaporan Ketua Audit Negara, dan akhirnya memperoleh kejayaan menerusi peningkatan dalam indeks persepsi rasuah.
 
"GTP sentiasa memberikan sentuhan bermakna terhadap kehidupan rakyat, seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang terus membantu rakyat berpendapatan rendah untuk membiayai kos sara hidup yang meningkat, manakala baucer buku teks dan Program Kembali ke Sekolah untuk murid sekolah secara langsung melengkapkan inisiatif NKRA Memastikan Pendidikan Berkualiti dalam memastikan setiap kanak-kanak mempunyai tempat dalam sistem persekolahan. 

"Kenyataannya, impak GTP tidak sekali-kali boleh dipertikaikan, sama ada dalam bentuk penyampaian infrastruktur kepada ribuan rakyat yang tinggal di luar bandar, mahupun memastikan ketersediaan rumah mampu milik bagi penduduk bandar yang berpendapatan rendah dan sederhana," katanya.

Muhyiddin berkata GTP berusaha menjadikan Malaysia negara yang lebih selamat, mewujudkan tenaga kerja yang lebih berpendidikan dan berkemahiran serta memastikan akses ke pusat bandar yang lebih cepat dan selamat.

Ringkasnya, usaha kerajaan melalui GTP adalah untuk terus menjadikan Malaysia tempat yang lebih baik untuk segenap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan juga ekonomi, katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru badan bukan kerajaan, sektor korporat dan semua pihak yang berkenaan mengemukakan cadangan dan saranan yang dapat membantu merealisasikan matlamat GTP.
Tags / Kata Kunci: GTP , Muhyiddin Yassin

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan