Azmin-Khalid Perang Dingin

Diterbitkan: Isnin, 12 Mei 2014 5:03 PM

Kekecohan pemilihan PKR menyebabkan Azmin dan Abdul Khalid dilihat bersikap dingin antara satu sama lain.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Kekecohan sepanjang proses pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi kesan kepada dua calon Timbalan Presiden parti itu apabila dilihat bersikap dingin antara satu sama lain ketika hadir pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor, pagi Isnin.

Tambah ketara apabila kedua-dua calon terbabit, Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak duduk bersama di khemah kenamaan (VIP) yang disediakan untuk pemimpin Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, Abdul Khalid duduk di khemah VIP bersama Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak pula dilihat duduk di khemah lain bersama beberapa pemimpin pembangkang.

Malahan, kedua-dua pemimpin pembangkang itu juga tidak kelihatan bertegur sapa sepanjang berada di Dewan Sri Pinang, di sini.

Tindakan itu menguatkan lagi spekulasi bahawa konflik di antara mereka belum bernoktah, malahan semakin meruncing.

Pada pemilihan peringkat cabang Batang Sadong di Sarawak, pasukan Abdul Khalid meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengambil tindakan tegas terhadap Azmin yang didakwa memanipulasi undi.

Pada pemilihan 2010, Azmin pernah diheret dalam kontroversi manipulasi undi, namun tidak ada sebarang tindakan dikenakan.

Sehingga 4 Mei lalu, Azmin masih mendahului dua pencabarnya untuk berada di zon selesa bagi mempertahankan jawatannya itu apabila memperoleh 9,876 undi, manakala Abdul Khalid mendapat 6,217 undi dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail  mencatat 5,717 undi.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan