Tiga Penyeludup Ditahan Berhampiran Pulau Berhala, Sabah

Diterbitkan: Ahad, 11 Mei 2014 2:39 PM

(Ubah saiz teks)

SANDAKAN: Anggota pasukan keselamatan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) terpaksa melepaskan tembakan amaran selepas terserempak sebuah bot laju yang dinaiki tiga orang dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan mereka berhampiran perairan Pulau Berhala, dekat sini pada Sabtu.

Ketua Pengarah ESScom, Datuk Mohammad Mentek berkata kejadian itu berlaku semasa anggota keselamatan daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) menaiki dua bot sedang meronda di perairan antara Pulau Berhala dan Tanjung Aru terserempak sebuah bot laju menggunakan enjin 200 kuasa kuda pada kira-kira pukul 7.30 malam.

"Apabila bot laju yang dinaiki tiga lelaki yang disyaki penyeludup minyak petrol tiba-tiba terserempak dengan sebuah daripada bot anggota keselamatan di satu kawasan perairan di situ, keadaan (bot yang terumbang ambing) itu menyebabkan seorang daripada anggota kita tercampak ke laut dan cedera tangan kanan dan bahagian belakang pinggang.

"Anggota pasukan keselamatan kita dapat menahan bot suspek dan menangkap tiga lelaki tersebut dengan seorang daripada mereka mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan, di sini pada Ahad.

Mohammad berkata selepas diperiksa, anggota pasukan keselamatan mendapati bot suspek dimuatkan 42 jeriken kosong. Bagaimanapun, tiada senjata dijumpai.

Beliau berkata maklumat awal menunjukkan ketiga-tiga suspek bergerak menaiki bot laju dari pulau Bangkungan Besar, Filipina ke Tanjung Aru, Sandakan pada kira-kira jam 6 petang.

"Suspek disyaki menyeludup minyak petrol dari Sandakan ke seberang (Bakungan Besar, wilayah Filipina) pada jam 4 petang dengan muatan sekitar lapan dram minyak petrol yang diisi dalam jeriken.

"Semasa kejadian suspek dalam perjalanan balik ke Sandakan setelah menyeludup keluar minyak tersebut," kata Mohammad sambil menambah dua daripada suspek itu berbangsa Suluk - seorang memiliki kad pengenalan berumur 54 tahun, manakala seorang lagi tidak mempunyai sebarang dokumen.
Tags / Kata Kunci: Esscom , Pulau Berhala

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan