Laporan Anak Pasangan Malaysia Dihantar Ke Sweden

Diterbitkan: Ahad, 11 Mei 2014 9:56 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA BAHARU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sentiasa menghantar laporan kepada kerajaan Sweden mengenai keadaan anak pasangan Malaysia yang dihukum penjara oleh Mahkamah Daerah Solna di Stockholm.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata sehingga kini sebanyak 14 laporan mengenai keadaan anak pasangan itu telah dihantar kepada Jabatan Sosial Sweden melalui Wisma Putra.

"Laporan tersebut telah dihantar selama 14 minggu dan ia merupakan satu daripada syarat yang ditetapkan oleh pihak Sweden bagi membolehkan anak-anak ini dijaga di Malaysia," katanya kepada pemberita ketika melawat anak pasangan berkenaan di sini, Ahad.

Empat anak pasangan tersebut Aishah, 14; Ammar, 12; Adam, 11; dan Ariff, 7 kini dijaga ibu saudara mereka Shaleena Norshal, 43, di rumahnya di Kampung Wakaf Tok Wali, Melor di sini.

Mahkamah Daerah Solna sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan terhadap Shalwati Norshal dan 10 bulan terhadap Azizul Raheem Awalludin bagi kesalahan mengasari serta mencabuli integriti anak-anak mereka.

"Kita mahu pihak Sweden tahu anak-anak ini dijaga sebaik mungkin oleh pihak kami di sini dan laporan berkenaan akan dihantar kepada mereka sehingga Jun.

"Laporan tersebut adalah mengenai emosi kanak-kanak terbabit, persekolahan dan lain-lain," katanya.

Rohani berkata pihaknya juga masih mengekalkan dua pegawai bagi memantau perkembangan anak pasangan itu selain memastikan mereka selesa berada di Malaysia.

Mengenai kunjungannya ke atas empat beradik itu, Rohani berkata ia dibuat bersempena sambutan Hari Ibu selain mahu melihat sendiri keadaan kanak-kanak terbabit.

Keadaan menjadi hening seketika apabila Aishah menghubungi dan mengucapkan selamat Hari Ibu kepada ibunya yang kemudiannya menangis sebelum dipujuk Rohani yang turut menitiskan air mata.

Aishah dalam ucapan kepada ibunya menyebut: "To my mom, we would like to say Happy Mothers Days and we love you very much".

Rohani berkata semua anak pasangan itu sangat tabah dan kuat menghadapi segala dugaan dan berkata: "Kita akan bersama mereka dalam menghadapi apa jua keadaan". 


Tags / Kata Kunci: Sweden , Malaysia

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan