Paip Pecah Lagi, Laluan Bukit Bintang, Jalan Raja Chulan Ditutup

Diterbitkan: Khamis, 8 Mei 2014 10:54 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Penutupan beberapa jalan di kawasan Bukit Bintang akan diteruskan ekoran kejadian paip pecah yang berlaku semalam kembali berulang pada Khamis.

Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dalam kenyataan malam ini berkata laluan yang terlibat ialah Jalan Raja Chulan (menghala ke Jalan Tun Razak) dan Jalan Bukit Bintang (menghala Pavilion).

"Kerja membaiki paip pecah yang mengakibatkan penutupan sebahagian Jalan Bukit Bintang (menghala ke Pavilion) di hadapan ruang pameran kereta Audi dan sebahagian Jalan Raja Chulan (menghala ke Jalan Tun Razak) antara persimpangan Jalan Conlay dan Jalan Imbi telah siap dijalankan semalam.

"Namun pagi tadi paip tersebut pecah sekali lagi dan ia telah dibaik pulih kira-kira pukul 3 petang tadi...bagaimanapun laluan itu masih ditutup sebagai langkah keselamatan sebelum ia dapat digunakan," menurut kenyataan itu.

Berikutan penutupan jalan ini, MRT Corp mencadangkan beberapa laluan alternatif untuk digunakan pengguna jalan raya.

Kenyataan itu menyebut pengguna dari Jalan Raja Chulan menghala ke Jalan Tun Razak perlu membelok ke kiri memasuki Jalan Sultan Ismail di Hotel Istana dan meneruskan perjalanan di Jalan P.Ramlee dan Jalan Ampang untuk ke Jalan Tun Razak.

Pengguna juga boleh menggunakan Jalan Conlay untuk mengakses ke Jalan Kia Peng yang kemudian boleh dihubungkan dengan Jalan Tun Razak.

Pengguna dari Jalan Raja Chulan yang mahu ke Jalan Imbi, perlu menggunakan jalan susur bersebelahan Pavilion untuk memasuki Jalan Bukit Bintang disebabkan pusingan ke kanan telah ditutup sebelum ke Jalan Yap Tai Chi untuk mengakses Jalan Imbi.

Semua aliran trafik dari Jalan Conlay ke Jalan Raja Chulan pula akan dilencongkan ke jalan susur bersebelahan Pavilion menghala ke Jalan Bukit Bintang.

"Disebabkan jalan di hadapan ruang pameran Audi masih lagi ditutup, semua aliran trafik di sepanjang Jalan Bukit Bintang dari Jalan Tun Razak akan dilencongkan ke Jalan Imbi.

"Bagi laluan penghubung ke bangunan LTAT dan Menara Worldwide pula, kedua-dua bangunan ini hanya boleh diakses melalui Jalan Bukit Bintang dari Jalan Tun Razak.

"Kenderaan dibenarkan untuk membelok ke kanan untuk mengakses bangunan tersebut, melalui laluan masuk sementara di pembahagi jalan di Jalan Bukit Bintang," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu berkata pengumuman mengenai status pembukaan jalan tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web MRT Corp www.mymrt.com.my atau www.mymrt-underground.com.my atau menghubungi hotline MRT Corp 1-800-82-6868.
Tags / Kata Kunci: MRT Corp

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan