Sindiket Gores Dan Menang Salahguna Borang TTPM

Diterbitkan: Khamis, 8 Mei 2014 8:04 AM

Gores dan menang

Sindiket gores dan menang tidak akan memulangkan wang atau memberi ganti rugi, sebaliknya memaklumkan kepada mangsa supaya memfailkan aduan ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk menuntut hak mereka. Foto BRIAN MOH / THE STAR

(Ubah saiz teks)

Eksklusif PUTRAJAYA: Sindiket gores dan menang kini menggunakan taktik baharu apabila dikesan menyalahgunakan borang Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk memperdaya orang ramai.

Taktik terkini sindiket yang mengaut keuntungan hampir RM37 juta sejak 2006 itu didapati mengemukakan borang TTPM untuk meyakinkan mangsa bahawa mereka boleh mendapat semula wang atau menuntut ganti rugi.

Tersenarai antara lima kes tertinggi yang difailkan di TPPM iaitu mencecah hampir 8,000, modus operandi sindiket penipuan ini terkenal dengan pujukan manis dan tawaran hadiah menarik untuk memerangkap mangsa yang akhirnya kerugian kerana membayar sejumlah wang atau hanya mendapat barangan tidak berkualiti.

Mendedahkan perkara ini kepada mStar Online, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, pihaknya menerima aduan mengenai taktik terbaharu sindiket itu di Pahang, baru-baru ini.

Beliau berkata, penganjur tidak akan memulangkan wang atau memberi ganti rugi, sebaliknya memaklumkan kepada mangsa supaya memfailkan aduan ke TTPM untuk menuntut hak mereka.

“Tindakan berani dan kurang ajar sindiket ini lebih kepada mainan psikologi dan seolah-olah cuba memperlekeh mangsa. 

“Borang TTPM digunakan untuk mengelirukan pengguna bagi meyakinkan mangsa bahawa mereka di pihak benar kerana turut memberi cadangan kepada mangsa supaya berurusan dengan pihak berkuasa,” katanya kepada mStar Online.

Alias Ahmad
Alias Ahmad. Foto MOHD SAHAR MISNI / THE STAR

Berdasarkan pemerhatian KPDNKK, mangsa sindiket ini dijanjikan peluang memenangi hadiah seperti jongkong emas, kereta mewah, pakej pelancongan, pakej Umrah, tilam jade, barangan elektrik dan wang tunai dengan hanya menggores pada satu kupon.

Bagaimanapun apabila ke premis sindiket untuk menuntut hadiah, mangsa akan diminta membuat bayaran kononnya sebagai fi pentadbiran, cukai kerajaan atau wang cagaran.

Di peringkat ini penipuan sindiket bermula apabila mangsa tidak mendapat hadiah seperti dijanjikan atau hanya menerima barangan yang tidak berkualiti.

Bagaimanapun, ketidakpuasan hati mangsa tidak akan dilayan, malahan ejen sindiket enggan mengembalikan wang mangsa atas alasan bayaran dibuat dengan rela hati.

Alias berkata, modus operandi gores dan menang sangat licik kerana beroperasi secara bergerak bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

"Keadaan bertambah sukar apabila mangsa yang membuat tuntutan di TTPM tidak mempunyai sebarang resit sebagai bukti pembayaran, termasuk maklumat mengenai penganjur menyebabkan tuntutan tidak dapat diselesaikan kerana tiada bukti penipuan oleh mana-mana pihak," katanya.

Beliau kesal borang tuntutan yang disediakan secara percuma di pejabat KPDNKK atau dengan memuat turun dari laman web TTPM kini disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab seperti sindiket gores dan menang ini.

gores dan menang

Mangsa sindiket dijanjikan peluang memenangi hadiah seperti jongkong emas, kereta mewah, pakej pelancongan, pakej Umrah, tilam jade, barangan elektrik dan wang tunai dengan hanya menggores pada satu kupon. - GAMBAR HIASAN / FOTO BRIAN MOH

TTPM yang ditubuhkan pada 15 November 1999 adalah saluran alternatif kepada penggguna untuk membuat tuntuan ganti rugi berkenaan transaksi pembelian barangan atau pembekalan perkhidmatan kepada pengguna.

Sehubungan itu, Alias mengingatkan pengguna supaya berhati-hati dan tidak terjebak dalam penipuan gores dan menang ini.

“Sejak 2006 sehingga 25 April tahun ini, sebanyak 7,707 kes gores dan menang difailkan  oleh pengguna dengan nilai kerugian berjumlah RM36.59 juta di TTPM.

"Bagi tahun ini sehingga 25 April, 353 kes difailkan dengan nilai kerugian sebanyak RM2.86 juta,” katanya.

Bagi tempoh yang sama tahun ini, Negeri Sembilan mencatatkan kes gores dan menang paling tinggi difailkan pengguna dengan 149 kes, diikuti Kelantan 42 kes, Melaka (23), Pahang (20) dan Putrajaya serta Perak, masing-masing 16 kes.

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan