Air Terjun Tasik Kenyir Khas Untuk Wanita

Diterbitkan: Isnin, 5 Mei 2014 10:18 AM

Salah satu daripada air terjun di Tasik Kenyir akan dipilih untuk menjadi lokasi khas bagi kaum wanita sahaja.

(Ubah saiz teks)

Hulu Terengganu: Satu daripada kawasan air terjun di Tasik Kenyir di sini akan dikhaskan untuk kaum wanita sahaja, kata Datuk Seri Ahmad Said.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, selain itu, bagi menjamin keselesaan pelancong wanita dalam dan luar negara, pihaknya akan memastikan pengendali bot dan pihak keselamatan di sekitar kawasan itu juga membabitkan wanita.

Beliau berkata, pendekatan baharu itu diambil selepas pihaknya meneliti cadangan yang disampaikan pelancong wanita dari Asia Barat.

"Di dalam tasik itu mempunyai banyak air terjun, dan satu daripadanya kita akan khaskan untuk kaum wanita sahaja iaitu semua urusan seperti pemandu bot, bahagian keselamatan dan sebagainya akan dikendalikan petugas wanita.

"Kita buat ini setelah menerima permintaan daripada pelancong asing terutama dari Asia Barat yang mahukan satu kawasan khas untuk kemudahan wanita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Festival Kenyir 2014 yang berlangsung sebulan sehingga 29 Mei di Pangkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini, Ahad.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Zubir Embong dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Wan Mat Amin Wan Daud.

Ahmad berkata, kerajaan negeri juga akan menjadikan Tasik Kenyir kawasan bebas cukai pertama di dunia menjelang September tahun depan di mana sehingga kini sebanyak RM300 juta dibelanjakan bagi membangunkan tasik itu dan tasik bebas cukai.

Katanya, antara kerja yang siap seperti membekalkan elektrik ke Pulau Bayas tapak kawasan bebas cukai dengan menarik kabel sejauh 22 kilometer melibatkan perbelanjaan RM33 juta.

Beberapa buah pulau yang dimajukan di dalam tasik itu sebahagiannya telah siap dan kini kerja-kerja membina jeti utama di Pulau Bayas sedang berjalan melibatkan peruntukan RM70 juta.

Beliau berkata, kerja pembinaan rangkaian perkedaian, kemudahan untuk Indah Water dan menyediakan tangki air serta kompleks kastam sedang berjalan yang kini siap 75 peratus.

Katanya, dalam masa terdekat pembinaan jambatan baharu empat lorong yang merupakan kemudahan utama menghubungkan Pangkalan Gawi ke Pulau Poh Besar akan berjalan.

Ahmad berkata, pulau yang mempunyai keluasan kira-kira 40 hektar itu juga akan dibina dua jeti iaitu untuk penumpang dan jeti untuk kargo.

"Di pulau itu kita akan bina hotel, taman permainan air selain 1,000 tempat letak kereta kerana di Pangkalan Gawi tidak mempunyai kawasan yang luas untuk tempat letak kenderaan," katanya.

Mengenai Kenyir Elephant Village, Ahmad berkata, perkampungan gajah itu yang diuruskan pihak swasta, akan mula dibuka pada Jumaat ini, di mana pengunjung boleh melihat sembilan gajah jinak dan 14 ekor gajah liar ketika ini.

Ahmad berkata, yang menarik dan uniknya kawasan Kenyir Elephant Village ia akan wujudkan beberapa chalet di atas pokok selain jambatan gantung dan kawasan tinjau yang mengelilinginya.

Kerajaan Terengganu melalui Ketengah menyasarkan kehadiran 500,000 pelancong ke tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara dengan mempunyai 340 pulau buatan, selepas menarik 400,000 pelancong tahun lalu..

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan