Pemilihan PKR: Azwan Pertahan Azmin, Anggap Pencabar Buang Masa

Diterbitkan: Ahad, 4 Mei 2014 9:58 AM

Gambar fail menunjukkan Azwan hadir memberi sokongan ketika proses penamaan calon Mohamed Azmin pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu. Hadir sama ialah abang mereka, Mohamed Azman Ali (kiri).

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Pengacara dan personaliti televisyen sensasi, Azwan Ali mempertahankan kewibawaan abangnya, Mohamed Azmin walaupun pelbagai tuduhan dilemparkan terhadap calon serta penyandang Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti itu kali ini.

Menganggap dirinya diva, beliau juga yakin Mohamed Azmin mampu mengekalkan jawatan ke dua tertinggi parti itu.

Mengakui walaupun tidak pernah terlibat dalam ceramah atau aktiviti kempen untuk abangnya itu, Azwan bagaimanapun tetap meletakkan kepercayaan yang tinggi terhadap Mohamed Azmin berbanding dua lagi pencabar.

Pandangannya itu disampaikan meneruai Twitternya, pada malam Sabtu.

"Salam. Anda tidak pernah lihat Azwan Ali di mana-mana kempen PKR. Peduli apa? Tapi saya sangat yakin, pemenangnya ialah YB Azmin Ali. Jadi?," tulis Azwan ringkas.

Azwan Ali dilihat sentiasa memberi sokongan terbuka terhadap kerjaya politik abangnya, Mohamed Azmin.


Azwan mengulas mengenai perkembangan terkini pemilihan PKR, terutamanya bagi saingan jawatan nombor dua parti itu yang melibatkan Mohamed Azmin yang dicabar dua calon lain iaitu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Agung, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Sehingga berakhir pusingan pertama pemilihan minggu lalu membabitkan enam negeri, Mohamed Azmin mengungguli senarai apabila memperoleh 5,111 undi meninggalkan Saiffuddin (2,322) dan Abdul Khalid (2,228).

Selain itu, menerusi Twitter juga, Azwan dengan lantang mengkritik pihak yang cuba memburukkan beliau dan Mohamed Azmin menerusi laman sosial dan blog bagi menjatuhkan kredibiliti abangnya itu sebagai ahli politik.

Tanpa berselindung, beliau menganggap tindakan dua pencabar abangnya itu hanya membazir masa kerana yakin Mohamed Azmin akhirnya akan mengekalkan jawatan disandangnya itu.

"Salam. Buat blog menghina YB Azmin Ali dan diva Azwan Ali? Bukan main lagi! Tuhan bayar tunai. Undi jauh ketinggalan! Jadi?.

"Salam. Ada hati konon dan lawan YB Azmin Ali? Buat semak kertas undi saja. Tup...tup..tup? Merosot jauh tercicir!," katanya.

Azwan sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan terbuka dengan mengatakan bahawa abangnya itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa lebih layak menjadi Menteri Besar Selangor berbanding Abdul Khalid.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan