Malaysia Berminat Sertai Program Pengecualian Visa

Diterbitkan: Isnin, 28 April 2014 12:10 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Malaysia melahirkan minat untuk menyertai Program Pengecualian Visa Amerika Syarikat (AS).
 

Perkara itu dibangkit dalam perbincangan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Barack Obama di sini, Ahad.

Najib, dalam sidang akhbar bersama Obama, mengucapkan terima kasih kepada Presiden AS itu kerana setuju mempertimbang penyertaan Malaysia dalam program berkenaan.
 
"Saya gembira AS kini komited untuk memberi taklimat teknikal berkaitan syarat keselamatan dan persetujuan berkongsi maklumat bagi tujuan ini," katanya.

Obama pula berkata AS mempunyai perundangan dan peruntukan yang amat jelas bagaimana sesebuah negara boleh menyertai program itu.
 
Bagaimanapun, beliau berkata berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan kerajaan Malaysia bagi meneliti pelbagai langkah berkaitan perkara itu. 
 
"Biasanya ia mengambil sedikit masa. Perkara ini bukanlah sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata kerana kita perlu memastikan segala butiran seperti jenis perkongsian maklumat, laporan berkaitan kehilangan atau kecurian pasport dan senarai nama pengganas, sudah ada sebelum ia dipermudah.
 
"Bagaimanapun, berikutan kemajuan dan perkembangan perdagangan yang mewujudkan hubungan rakyat dengan rakyat antara Malaysia dan Amerika Syarikat, saya ingin memastikan bahawa kita sudah boleh memulakannya," katanya. 

Program Pengecualian Visa membolehkan rakyat negara yang menyertainya melakukan perjalanan ke AS tanpa visa dan berada di sana selama 90 hari atau kurang. 

Setakat ini, 37 negara menyertai program itu, antaranya Brunei Darussalam, Singapura, Taiwan dan Jepun. 


Tags / Kata Kunci: Najib Razak , Barack Obama , visa

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan