AS Sambut Baik Komitmen Malaysia Perangi Percambahan Senjata Pemusnah

Diterbitkan: Ahad, 27 April 2014 9:30 PM

Barack Obama.

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menyambut baik komitmen Malaysia untuk memerangi percambahan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) dengan menyertai Inisiatif Keselamatan Pengawalan Senjata (PSI) di bawah Pernyataan Prinsip Perintah Larangan.

Beliau berkata PSI merupakan landasan kukuh yang menyaksikan kedua-dua negara meletak rangka kerja tindakan meliputi usaha membangunkan keupayaan dan oleh itu, ia bukan sekadar pendekatan sehala.
 
"Jelas sekali kami berusaha menangani isu ini sejak sekian lama. Saya menyifatkan percambahan WMD sebagai satu daripada ancaman terbesar terhadap keselamatan Amerika Syarikat dan keamanan di peringkat antarabangsa.
 
"Oleh itu, kami telahpun membangunkan banyak penyelidikan keupayaan namun ini adalah satu perkongsian, apa yang ingin kami lakukan ialah mencari jalan untuk mempertingkat dan menggembleng kekuatan maklumat yang dimiliki kedua-dua pihak.
 
"Ini bagi memastikan tidak terdapat kemungkinan bahan nuklear atau komponen atau bahagian tertentu dihantar atau dijual kepada pihak tidak bertanggungjawab," katanya.

Obama berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas kedua-dua pemimpin mengadakan rundingan hari ini.

Beliau kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia, iaitu yang pertama oleh seorang Presiden Amerika Syarikat yang memegang tampuk kuasa dalam tempoh hampir 50 tahun.

Semasa rundingan, kedua-dua pemimpin bersetuju memperkukuh kerjasama dalam latihan menjaga keamanan manakala Malaysia memutuskan untuk mengendors PSI. 

Obama mengulangi kenyataan Najib bahawa kedua-dua negara telahpun menjalin kerjasama kukuh yang penting ke arah usaha global bagi menghentikan pengedaran WMD.
 
"Rantau ini merupakan kawasan berpotensi di mana pengedar terbabit menggunakannya sebagai transit untuk WMD, yang boleh menyebabkan percambahan senjata nuklear.
 
"Menerusi perbualan dalam perbincangan kumpulan, kami mula memperkukuh hubungan dan ikatan dalam konteks berkongsi maklumat, mengenal pasti ancaman dan menjalin kerjasama lebih rapat," kata beliau.

Obama juga berkata Washington menghargai kerjasama yang sedia terjalin dalam perkara ini dan yakin PSI menunjukkan betapa pentingnya kedua-dua negara bekerjasama pada masa depan.

Sementara itu, Najib berkata PSI bukanlah sesuatu yang baharu kerana kedua-dua negara telahpun menjalin kerjasama rapat, dan apabila diminta mengambil langkah pencegahan, mereka tidak pernah gagal untuk berbuat demikian.
 
"Apa yang kami lakukan hari ini ialah untuk memformalkannya bagi mewujudkan hubungan rasmi.
 
"Hubungan ini akan meneruskan apa yang kami lakukan selain menggambarkan hasrat serta kesungguhan bagi pihak Malaysia, bukan sahaja untuk menjalin kerjasama dengan Amerika Syarikat malah dengan masyarakat antarabangsa bagi memerangi percambahan senjata pemusnah besar-besaran," katanya.

PSI adalah usaha global bagi menyekat percambahan senjata pemusnah besar-besaran, sistem penghantarannya dan bahan berkaitan dari satu negara ke negara lain

Inisiatif itu dilancarkan Presiden George W. Bush pada Mei 2003 di Poland dan ia kini diperluas bagi meliputi 102 negara di seluruh dunia yang menyertainya.

Peranan utama negara yang menyertai PSI ialah mematuhi Pernyataan Prinsip Perintah Larangan dengan matlamat utama menyekat percambahan senjata pemusnah besar-besaran dan bahan berkaitan. 

Negara yang menyertai inisiatif itu disaran menggubal undang-undang bagi langkah pencegahan efektif dan mempermudah rampasan bahan berkaitan bagi memastikan kemudahan di negara mereka tidak diguna untuk memindahkan kargo senjata haram.
Tags / Kata Kunci: Barack Obama , senjata pemusnah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan