Najib-Obama Setuju Tingkatkan Hubungan, Kerjasama Komprehensif

Diterbitkan: Ahad, 27 April 2014 2:47 PM

obama najib

Najib (kanan) dalam sidang akhbar bersama Obama selepas kedua-dua pemimpin itu mengadakan perbincangan pada di Putrajaya pada Ahad. Foto AFP

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) sepakat untuk meningkatkan hubungan dua hala kepada Perkongsian Komprehensif, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Langkah ini, katanya menandakan fasa baharu dalam hubungan kedua-dua negara, akan menyaksikan lebih banyak kerjasama dalam ekonomi, keselamatan, pendidikan, sains, teknologi dan bidang-bidang lain.

"Kami juga memutuskan untuk meningkatkan lagi peranan Dialog Pegawai-Pegawai Kanan sebagai forum utama bagi perbincangan peringkat tinggi. Semua persetujuan bersama ini akan menjadi asas kukuh bagi lebih banyak kerjasama pada masa akan datang," katanya.

Najib berkata demikian dalam sidang akhbar bersama-sama Presiden AS Barack Obama selepas kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan pada Ahad.

Obama kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia, julung kali oleh presiden Amerika Syarikat dalam tempoh hampir 50 tahun.

Najib berkata Malaysia, sebuah negara Islam yang moden dan progresif dengan penduduk berbilang kaum dan agama, sejak sekian lama sedar akan faedah daripada
kerjasama merentas sempadan dan kuasa perkongsian kemakmuran.

"Kehadiran Tuan Presiden di sini menandakan bermulanya perkongsian kita memasuki tahap baharu - dengan persahabatan dipererat dan perkongsian lebih komprehensif," katanya dan menurutnya ia membuka ruang bagi fasa baharu hubungan Malaysia-AS, yang perlu berasaskan kerjasama lebih jitu untuk menghadapi pelbagai cabaran semasa.

Najib berkata, Malaysia menyambut baik langkah Amerika Syarikat untuk membaiki keseimbangan terhadap Asia, dan sumbangannya terhadap keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini.

"Benua-benua kita berkongsi lautan, kita juga patut dihubungkan oleh dasar yang sama. Kami percaya semua pihak patut berkongsi kisah pertumbuhan cemerlang Asia, dengan syarat mereka juga berkongsi komitmen terhadap keamanan yang ia bergantung," katanya.

Pemimpin Malaysia itu turut menyentuh tentang Malaysia yang akan mengambil alih peranan sebagai pengerusi Asean tahun depan dan usahanya untuk menduduki 
satu daripada kerusi wakil tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

"Dalam pada kami bersedia untuk semua ini...kami mahukan peranan lebih besar dalam menggalakkan keamanan global dan kestabilan serantau. Dalam usaha ini dan banyak lagi, persahabatan kami dengan Amerika Syarikat amat dihargai," kata Najib.

Perdana Menteri berkata, beliau menghargai sokongan padu AS kepada Asean dan Sidang Kemuncak Asia Timur, dan atas keyakinan terhadap Malaysia apabila menjadi pengerusi Asean pada 2015. 

Beliau turut menyentuh peranan Kuala Lumpur dalam membantu menjayakan pemeteraian perjanjian damai di selatan Filipina, menamatkan konflik yang telah meragut nyawa 150,000 orang dan menghalang Al Qaeda dan sekutunya daripada kemungkinan bertapak di rantau ini.

"Kami menolak ekstremisme agama, dengan menubuhkan Pergerakan Kesederhanaan Global," katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau dan Obama juga bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam latihan misi pengaman.

Tags / Kata Kunci: Barack Obama , Najib Tun Razak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan