Pemilihan Kawasan catuan Bukan Berdasarkan Status Sosio-Ekonomi - Syabas

Diterbitkan: Sabtu, 26 April 2014 10:13 PM

catuan
(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) berkata pemilihan kawasan catuan air tidak dibuat berdasarkan status sosio-ekonomi pengguna.

Penolong Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awamnya, Priscilla Alfred Dharan berkata sebaliknya, pemilihan kawasan itu dibuat berdasarkan pertimbangan teknikal sistem agihan. 
 
"Pengecualian hanya pada kawasan secara khusus dikecualikan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), iaitu pusat petadbiran kerajaan Persekutuan Putrajaya dan kerajaan Selangor serta pusat bandaraya Kuala Lumpur. 
 
"Ia turut meliputi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Subang, Pelabuhan Klang, Zon Perdagangan Bebas, hospital kerajaan dan swasta, pusat dialisis serta Stesen Janakuasa Salahudin Abdul Aziz di Kapar," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Priscilla mengingatkan penduduk agar tidak melakukan aktiviti terlarang dan menyalahi undang-undang bagi mendapatkan air seperti merosakkan sistem paip agihan kerana ia akan mengakibatkan kehilangan atau kekurangan lebih banyak bekalan sekali gus menyebabkan masalah kekurangan air bertambah teruk.

Orang ramai juga diminta memberi kerjasama dengan berjimat cermat menggunakan air semasa catuan dijalankan dan Badan Pengurus Bangunan (JMB) diminta mengawal paras kolam simpanan mereka sehingga mencapai paras stabil sebelum melepaskan air kepada penduduk. 
 
"Ini bagi membantu penduduk di kawasan yang dijadualkan mendapat air menerima bekalan dalam tempoh yang dijadualkan," katanya. 

Orang ramai yang masih keliru dengan pelan catuan bekalan air boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my untuk mendapatkan maklumat berhubung kawasan terlibat catuan, jadual catuan harian dan polisi lain berkaitan catuan itu.

Tags / Kata Kunci: Syabas , catuan air

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan