Lawatan Obama Pengiktirafan Untuk Malaysia

Diterbitkan: Khamis, 24 April 2014 11:18 PM

Barack Obama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kedatangan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama ke Malaysia merupakan suatu pengiktirafan kepada usaha dan kejayaan kerajaan membangunkan negara ini.

Duta Khas Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis berkata lawatan itu juga dilihat sebagai satu penghormatan daripada sebuah negara besar kepada Malaysia sebagai sebuah negara Islam. 

"Ini ialah suatu penghormatan kepada rakyat Malaysia kerana dunia besar mengiktiraf kita, sebuah negara Islam. Akhirnya ada pengiktirafan dunia kepada usaha (membangunkan negara) yang dibuat oleh kerajaan sejak merdeka," katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Ruang Bicara terbitan BernamaTV, di sini Khamis. 

Lawatan Obama ke Malaysia merupakan yang pertama dilakukan Presiden Amerika dalam tempoh 48 tahun lalu selepas kunjungan terakhir oleh Lyndon B. Johnson pada 1966.

"Kalaulah negara kita mundur, tak berjaya, berperang, ekonomi teruk, atau bermasalah, adakah presiden Amerika Syarikat mahu pergi?," katanya. 

"Dia (Obama) datang ke Malaysia sudah tentu kerana kejayaan-kejayaan negara kita dari segi ekonomi, keamanan dan mempunyai sistem demokrasi yang baik," katanya sambil menegaskan kunjungan presiden itu tidak harus dipolitikkan, sebaliknya perlu dilihat dari aspek positif. 

Jamaluddin turut menempelak tindakan parti pembangkang yang dilihat sengaja menimbulkan kontroversi apabila mempersoal ketiadaan slot bagi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertemu Obama. 

Tegasnya kehadiran Obama ke Malaysia pada 26 hingga 28 April ini adalah kerana urusan rasmi dan tidak wajar untuk pembangkang mempolitikkan perkara itu.

"Ini lawatan atas jemputan kerajaan...bila dia pergi ke Jepun atas jemputan kerajaan Jepun, dia (Obama) hanya jumpa perdana menteri Jepun dan Maharaja Jepun, begitu juga di Korea, dia jumpa pemimpin kerajaan Korea lah dan bukannya pembangkang di sana. 

"Begitu juga bila dia datang ke Malaysia, jumpa kerajaan Malaysia yang mana pemimpinnya ialah Datuk Seri Najib Tun Razak...mengapa pula dia nak jumpa ketua pembangkang," katanya sekaligus menepis dakwaan kerajaan menghalang pertemuan Anwar dan Obama.

Dalam temu bual sejam bersama Dahlan Maamor bertajuk 'Signifikan Malaysia Persada Dunia' itu, Jamaluddin turut menyentuh peranan yang mahu dimainkan Malaysia dalam memperbetulkan persepsi negatif masyarakat barat berhubung agama Islam.

Katanya, keterbukaan Obama mengenai agama Islam dilihat Malaysia sebagai peluang untuk membantu mengubah dogma berhubung Islam sebagai agama yang radikal dan ekstrem. 

Usaha itu, katanya, selaras dengan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang antara lain menekankan kesefahaman dunia untuk menolak sebarang bentuk ekstremisme. 

"Jadi bila Obama ke mari kita mahu dia lihat Malaysia sebagai contoh negara Islam yang sederhana, yang boleh diterima dunia dan menggunakan rakyat Malaysia yang hidup dengan aman di sisi kaum lain sebagai lambang Islam yang sebenar sekali gus menghindari tanggapan negatif dunia kepada Islam," katanya. 

Jamaluddin turut yakin dengan latar belakang sosial Obama yang pernah dibesarkan dalam persekitaran masyarkat Islam, presiden Amerika Syarikat itu akan lebih memahami berhubung agama Islam, dan seterusnya menggunakan kedudukannya untuk memperbetulkan persepsi buruk berhubung agama Islam. 

Menyentuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan Amerika Syarikat, Jamaluddin berkata lebih banyak usaha perlu dibuat, bukan sahaja oleh pihak kerajaan tetapi juga pelbagai pihak tempatan lain untuk memperkenalkan Malaysia ke negara itu. 

Katanya, Malaysia memerlukan anjakan baru untuk melonjakkan nama negara di Amerika Syarikat kerana ia mempunyai manfaat yang amat besar dari aspek sosial, ekonomi mahupun politik. 

"Masalahnya sekarang ini, mereka lebih banyak mendengar suara sebelah pihak (yang negatif) dan suara-suara yang benar tidak sampai kepada mereka. Jadi mereka ambil cerita-cerita tertentu (mengenai Malaysia) dan menganggapnya seagai cerita yang betul," katanya. 

Menyentuh manfaat ekonomi, usahawan Malaysia menurut Jamaluddin perlu mengambil peluang untuk menguasai sektor produk halal yang mempunyai potensi besar di Amerika Syarikat. 
 
"Dari aspek Islam, Amerika Syarikat merekodkan peningkatan orang yang memeluk agama Islam yang tinggi, bermakna produk halal mempunyai permintaan yang tinggi. 

"Oleh sebab kita ada hab halal dan industri halal yang sudah matang, saya cadangkan pengusaha tempatan yang mampu untuk melihat peluang ini di Amerika Syarikat," katanya. 

Selain itu, katanya kedudukan Malaysia sebagai pengerusi Asean tahun hadapan juga meletakkan negara pada kedudukan yang amat unik terutamanya dari aspek peranan diplomatik yang boleh dimainkan untuk 'merapatkan' hubungan antara negara dunia, khususnya Amerika Syarikat dan China, katanya. 

"Saya nampak beliau (Obama) mahu mendekati kita dan mendengar pandangan-pandangan pemimpin kita. 

"Kalau kita diberi jadi orang tengah dan berusaha untuk mengukuhkan hubungan antara kedua ini dan menghapuskan apa sahaja prasangka dengan itu kita dapat main peranan yang amat besar sekali," katanya optimis.

Jamaluddin berkata antara perkara yang mungkin dibangkitkan ialah prosedur permohonan visa bagi melawat Amerika.

"Selepas kejadian 11 September banyak halangan kepada rakyat Malaysia yang mahu melawat Amerika. Kita nak memohon mereka kaji kembali syarat-syarat yang ketat bagi mengeluarkan visa", katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan