Spekulasi Pertukaran MB: Jangan Sampai Umno Berpecah belah

Diterbitkan: Khamis, 24 April 2014 6:56 PM

Irmohizam Ibrahim

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Spekulasi pertukaran Menteri Besar (MB) yang bertiup kencang kebelakangan ini harus dikawal bagi mengelak wujud elemen yang boleh memecah belahkan kepemimpinan dan ahli  Umno.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim menegaskan, apa yang penting semua kepemimpinan dan ahli parti perlu faham bahawa isu itu tidak ada asas, malah tidak diketahui tahap kebenarannya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengarah Strategik Kepada Presiden Umno berkata, ketika ini bukan masanya untuk memikirkan perkara itu, sebaliknya tumpuan utama adalah untuk mengukuhkan parti bagi menjamin kelangsungan Umno dan Barisan Nasional (BN).

"Selepas setahun Pilihan Raya Umum dan juga pemilihan parti akhir tahun lalu, semua pihak perlu memainkan peranan untuk memastikan parti terus diyakini, bukan meletakkan isu seperti ini (pertukaran MB) sebagai agenda utama dalam perjuangan.

"Kita juga tidak mahu ia membawa kepada perpecahan dalam parti apabila ada yang berpuak-puak dan menyokong pemimpin yang difikirkan layak untuk menjadi calon pengganti jika benar perubahan itu akan berlaku," katanya kepada mStar Online di sini, Khamis.

Beliau diminta mengulas isu pertukaran MB di beberapa buah negeri termasuk Terengganu, Pahang, Kedah dan Perak yang disebut-sebut sekarang.

Sebelum ini, mStar Online melaporkan kata putus pihak istana yang bakal menentukan sama ada akan berlaku pertukaran itu atau sebaliknya. Portal berita ini juga mendedahkan mengenai wujudnya perjanjian bersama antara MB terbabit, BN dan istana negeri sebelum PRU lalu di mana ditetapkan syarat supaya pihak terbabit berundur selepas diberi peluang meneruskan khidmat sebagai MB.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berpendapat, tumpuan yang keterlaluan kepada isu ini boleh membentuk budaya tidak sihat dalam kalangan ahli parti, sedangkan perkara utama adalah meningkatkan keyakinan ahli dan masyarakat kepada parti.

"Jangan berpolemik dan mewujudkan konflik di dalam parti kerana apa yang dikatakan sebagai perjanjian antara pihak terbabit dalam isu pertukaran MB itu belum tentu benar selagi tidak ada hitam putih," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan