Penduduk 12 Kampung Sekitar Muar Bimbang Ancaman Buaya - Berita Semasa | mStar

Penduduk 12 Kampung Sekitar Muar Bimbang Ancaman Buaya

Diterbitkan: Khamis, 24 April 2014 8:24 PM

Gambar Hiasan

(Ubah saiz teks)

MUAR: Penduduk di 12 kampung sekitar Parit Bugis, Sungai Balang, yang gempar mengenai penemuan seekor buaya sepanjang hampir tiga meter di Sungai Sarang Buaya dekat situ bulan lalu, kini bimbang keselamatan mereka terancam, terutama kanak-kanak.

Mereka mahu pihak berkuasa mengambil langkah tertentu termasuk memasang papan tanda amaran bagi mengingatkan orang ramai terhadap kehadiran reptilia itu.

Khalid Morsid, 55, yang berjaya menangkap seekor buaya seberat 80 kilogram pada 16 Mac lalu berkata terdapat kira-kira 10 ekor lagi buaya dipercayai berada di sepanjang sungai itu.

"Ramai kaki pancing dari luar yang gemar memancing di sungai ini kerana terdapat banyak udang galah, udang bara dan ikan toman, tapi tidak sedar akan bahaya yang menunggu mereka.

"Begitu juga dengan kanak-kanak, mereka masih terus menjadikan sungai ini tempat untuk mandi-manda walaupun selepas penemuan buaya di sungai ini," kata pemancing itu kepada pemberita Khamis yang mengikuti lawatan ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Balang, Zaiton Ismail.

Khalid berkata, selepas menyerahkan buaya yang tersangkut pada mata pancing ikan tomannya kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Muar, beliau mengesan seekor lagi buaya di tebing sungai itu pada sebelah malamnya.

Seorang lagi penduduk, Din Zakaria, 61, berkata terdapat banyak pemancing dari luar yang kurang mengetahui keadaan sungai itu dan bimbang perkara buruk boleh berlaku.

Beliau berkata, walaupun belum ada kes penduduk diserang atau dibaham buaya setakat ini, tindakan berjaga-jaga perlu diambil kerana reptilia itu sudah wujud di situ sejak 1940-an dan pernah dikesan oleh pekerja kontrak meluruskan sungai itu pada 1964.

Sementara itu, Zaiton berkata pihaknya sudah memohon kepada Majlis Perbandaran Muar supaya segera memasang papan tanda amaran di kawasan itu.

Beliau tidak mahu keselamatan penduduk yang dianggarkan lebih 3,000 orang di kawasan itu menjadi taruhan terutama dalam usaha mereka untuk mengadakan beberapa aktiviti di sungai itu sebagai usaha menarik kedatangan pelancong.


   

iklan

Video

Khamis, 12 Julai 2018 1:05 PM

Lempang pelajar ikut suka hati

Selasa, 10 Julai 2018 6:39 PM

Nak 'gugur jantung' tengok pakcik ini memandu

Selasa, 10 Julai 2018 3:06 PM

Pengasuh pijak, hempas anak jagaan

Isnin, 9 Julai 2018 5:30 PM

Ragam si meow & bola!

Jumaat, 6 Julai 2018 5:39 PM

Tak sanggup tengok mayat mangsa kemalangan

Jumaat, 6 Julai 2018 12:48 PM

Durian buah untuk orang kaya?

Khamis, 5 Julai 2018 7:02 PM

Ngeri! Nampak kaki dalam beg baju

Kolumnis

iklan

Iklan