AirAsia Dan AirAsia X Akan Mula Operasi Di KLIA2 Pada 9 Mei - Berita Semasa | mStar

AirAsia Dan AirAsia X Akan Mula Operasi Di KLIA2 Pada 9 Mei

Diterbitkan: Khamis, 24 April 2014 9:28 PM

Pemandangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) yang dijangka akan mula beroperasi secara rasmi pada awal Mei nanti. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kumpulan AirAsia akan memindahkan semua operasinya ke lapangan terbang baharu klia2 pada Jumaat, 9 Mei.

Semua pelepasan yang dijadualkan dari Terminal Penerbangan Tambang Rendah(LCCT) pada 8 Mei, akan beroperasi seperti biasa, kata AirAsia dalam satu kenyataan.

Penumpang dengan tempahan berlepas dari Kuala Lumpur pada hari berkenaan dinasihatkan untuk pergi ke LCCT untuk menaiki penerbangan mereka.

Semua penerbangan AirAsia X (D7) masih terus berlepas dari dan tiba di LCCT pada 8 Mei, termasuk penerbangan berlepas pada 9 Mei ke Perth, Osaka, Busan dan Jeddah masing-masing pada 12.05 tengah malam, 1.00 pagi, 1.15 pagi dan 2.35 pagi.

Bagaimanapun, sejumlah penerbangan AirAsia (AK) akan mendarat terus di klia2 pada 8 Mei, dan tidak di LCCT. 

Penerbangan domestik yang tiba di klia2 pada 8 Mei termasuk yang berlepas dari Kuala Terengganu, Kota Baharu, Tawau, Bintulu, Alor Setar, Johor Bahru, Sibu,Miri, Langkawi, Kota Kinabalu, Kuching dan Pulau Pinang.

Penerbangan antarabangsa yang tiba di klia2 pada 8 Mei termasuk yang berlepas dari Macau, Nanning, Kunming, Lombok, Bandar Ho Chi Minh, Phuket, Bali, Shenzhen, Yangon, Guangzhou, Medan, Trichy, Kochi, Kolkata dan Chennai.

Dengan ruang bina yang lebih luas dan pengalaman baharu, kaunter-kaunter serahan bagasi AirAsia akan dibuka tiga jam sebelum masa pelepasan dijadualkan, dan akan ditutup sejam sebelum masa pelepasan dijadualkan bagi kedua-dua penerbangan antarabangsa dan domestik untuk memastikan semua penumpang mempunyai masa secukupnya menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran baharu dan tiba di pintu pelepasan pada masa diperlukan.

AirAsia amat menggalakkan semua penumpang agar melakukan daftar masuk sendiri melalui laman web atau telefon mudah-alih sebelum tiba di lapangan terbang.

Oleh kerana semua kaunter imigresen dan keselamatan masih beroperasi di LCCT pada 2-8 Mei, penumpang tidak perlu bimbang mengenai sebarang masalah sewaktu melalui LCCT dalam masa perpindahan itu.
Tags / Kata Kunci: AirAsia , AirAsia X , KLIA2

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan