MH370: ROV Akan Ganti AUV?

Diterbitkan: Rabu, 23 April 2014 8:25 PM

Perlukan AUV yang dikenali sebagai Bluefin-21, meneruskan misinya atau ia patut diganti dengan peralatan lain?

(Ubah saiz teks)

PERTH: Setelah 80 peratus daripada kawasan yang menjadi fokus dalam usaha mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang kini diliputi, orang ramai, lebih-lebih lagi waris penumpang dan anak kapal pesawat malang itu, menunggu dengan penuh harapan langkah seterusnya yang akan diambil dalam operasi di selatan Lautan Hindi itu.

Perlukah Kenderaan Dalam Air Autonomi (AUV), yang dikenali sebagai Bluefin-21, meneruskan misinya atau ia patut diganti dengan peralatan lain memandangkan hingga kini, tiada sebarang benda berkaitan ditemui.

Bagaimanapun, setelah operasi mencari memasuki hari ke-47 pada Rabu, tiada sebarang pengumuman dibuat mengenai langkah seterusnya yang akan diambil.

Dalam temu bual khas dengan Bernama dan media Malaysia di sini, Ketua Pegawai Eksekutif Total Marine Technology (TMT) Paul Colley memberi sedikit bayangan perkhidmatan yang boleh ditawarkan Kenderaan Kendalian Jauh (ROV) TMT dikenali sebagai Typhoon, dalam operasi mencari pesawat itu.

TMT, pengeluar pelbagai jenis ROV yng berpangkalan di Australia, adalah anak syarikat Sapura Kencana Petroleum Well Services, sebuah syarikat milik Malaysia.

Colley, yang juga pengasas TMT, berkata usaha mencari pesawat di dalam air memang amat sukar dan umpama mencari jarum di dalam timbunan jerami di planet lain kerana dunia di dalam air adalah tempat yang asing bagi manusia.

"Ini bukan kerana kita menggunakan khidmat orang yang tidak tepat atau peralatan yang tidak sesuai. Hakikatnya, ia melibatkan kedalaman 4,500 meter dan teknologi juga mempunyai hadnya," kata beliau.

Bebeza dengan Bluefin-21, Typhoon, ROV kelas bekerja, memiliki pelbagai manipulator, sensor, sonar, lampu dan 16 kamera yang boleh menghantar maklumat masa nyata kepada kabel yang disambung terus ke kapal.

"Ia menggunakan kabel gentian optik, jadi video yang dirakam boleh diakses secara terus oleh operator di atas kapal," kata Colley sambil menegaskan bahawa syarikat itu mempunyai lebih kurang 150 operator ROV, kira-kira separuh daripada mereka mampu mengendalikan Typhoon.

Satu lagi kelebihan Typhoon ialah kenderaan ini boleh menyelam hingga selama empat minggu tanpa perlu timbul ke permukaan air, berbanding Bluefin-21 yang perlu timbul semula setiap 24 jam.

Walaupun kenderaan bersaiz lebih kurang kenderaan pelbagai guna (MPV) ini adalah seberat 5,500 kg (5.5 tan), tetapi beratnya boleh dikurangkan kepada hanya 20kg apabila menyelam di dalam air bagi memudahkan pergerakannya.

Tetapi, kata Colley, oleh kerana ROV bergerak secara bersama, mobilitinya di dalam air adalah terhad.

"Memang amat sukar menggunakan ROV di kawasan pencarian yang luas. ROV paling berkesan sekiranya anda tahu sesuatu objek berada di sesuatu tempat dan anda gunakannya untuk mengesahkan sama ada objek yg dijumpai itu mempunyai kaitan dengan apa yang anda cari," katanya sambil menjelaskan bahawa Typhoon bergerak dengan kelajuan hanya tiga knot.

Ditanya sama ada pihak berkuasa yang meminta bantuan pihaknya atau syarikat itu yang menawarkan diri untuk membantu dalam usaha mencari pesawat berkenaan, beliau berkata syarikat itu memperkenalkan dirinya kepada pihak berkuasa dan bersedia berkhidmat apabila diperlukan.

Colley berkata syarikat itu mempunyai 24 ROV, daripada yang bersaiz Typhoon, hinggalah sekecil beg pakaian. Typhoon dibangunkan sejak 2008 dan mula dikeluarkan pada 2012.

Pada 14 April tahun ini, Ketua Penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Ketua Marsyal Udara (Bersara) Angus Houston memberitahu sidang akhbar bahawa pihak berkuasa sedang mengkaji kemungkinan menggunakan sejenis alat dalam air lain untuk memantapkan operasi mencari pesawat malang itu, jika diperlukan.

Penerbangan MH370 bersama 239 penumpang dan anak kapal meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam 8 Mac sebelum hilang daripada pengesanan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Operasi melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mencari pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila didapati ia menukar laluan.

Apabila analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu ialah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".
Tags / Kata Kunci: AUV , ROV , MH370

iklan

Video

Jumaat, 18 Ogos 2017 12:00 PM

Jantina Belum Tahu Lagi! - Ezzaty Abdullah

Jumaat, 18 Ogos 2017 8:00 AM

#akuStar: Slash - Melodi Kasih

Khamis, 17 Ogos 2017 3:02 PM

Seksi? Urusan Saya Dengan Tuhan - Zizi Kirana

Khamis, 17 Ogos 2017 12:30 PM

Erma Reda, Jatuh Talak Satu

Khamis, 17 Ogos 2017 9:00 AM

Wak Doyok Kini Bintang Filem

Rabu, 16 Ogos 2017 3:59 PM

Bahaya Tu Abang Oii...

Rabu, 16 Ogos 2017 12:30 PM

“Senyum Je Pada Haters” - Farisha Irish

Selasa, 15 Ogos 2017 3:28 PM

Raysha Rizrose Pemalu, Bukan Sombong!

Kolumnis

iklan

Iklan