MH192: Profesionalisme Kru Dipuji

Diterbitkan: Selasa, 22 April 2014 9:29 AM

Ahmad Jauhari memuji profesionalisme anak kapal pesawat MH192, yang terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, Isnin lalu.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahya memuji profesionalisme anak kapal pesawat MH192, yang terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, Isnin.

Pesawat itu berlepas dari KLIA pada 10.09 malam menuju ke Bangalore, India tetapi berpatah balik ke KLIA apabila mengalami masalah pada gear pendaratannya.

Pesawat itu, yang membawa 159 penumpang dan tujuh anak kapal, selamat melakukan pendaratan kecemasan di KLIA pada 1.56 pagi.

Ahmad Jauhari juga berada di KLIA untuk menemui penumpang dan anak kapal semasa mereka turun dari pesawat, katanya dalam kenyataan MAS di sini.

"Tiada keadaan yang kelam-kabut atau cemas, semua pihak memberi pujian tertinggi terhadap kecekapan dan profesionalisme juruterbang, pegawai pertama dan anak kapal.

"Saya berbangga dengan pasukan ini dan cara mereka menangani keadaan dalam Penerbangan MH192 awal pagi tadi," katanya.

Sementara itu, seorang penumpang, Pritesh Jain yang duduk di tempat duduk 22A berkata, beliau mendengar bunyi kuat sejurus pesawat berlepas dan pesawat itu juga bergegar.

"Saya tahu ada sesuatu yang tidak kena. Juruterbang pantas bertindak dan mereka terus berkomunikasi dengan kami," kata Pritesh yang bersendirian menaiki penerbangan itu.

Seorang lagi penumpang sendirian, Basavaraj Udapud berkata komunikasi dari kokpit dilakukan secara berterusan dan anak kapal juga menunjukkan demostrasi pendaratan kecemasan.

"Semua yang berada dalam pesawat membaca doa tetapi keadaan dalam pesawat amat tenang dan terkawal.

"Anak kapal dapat menanganinya dengan baik sekali. Semua orang memberi sorakan dan tepukan kepada Kapten apabila pesawat akhirnya berhenti. Ia pengalaman yang menakutkan," katanya.

Sementara itu, MAS berkata pihaknya sedang menyediakan laporan mengenai insiden MH192 untuk dikemukakan kepada Kementerian Pengangkutan. 


Tags / Kata Kunci: MAS , MH192 , Ahmad Jauhari

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan