Status Catuan Air KL, Selangor Diputuskan Minggu Depan

Diterbitkan: Selasa, 22 April 2014 12:55 PM

air selangor

Keputusan sama ada untuk terus mencatu atau menghentikan proses itu akan ditetapkan minggu depan

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Kerajaan Selangor dijangka mengumumkan status catuan bekalan air di negeri itu dan kawasan sekitar pada minggu depan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beberapa persetujuan dicapai hasil perbincangan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee; Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada petang Isnin.

"Minggu hadapan kita akan isytiharkan bagaimana keadaan catuan, tindakan yang akan diambil dan kita juga merasakan kita boleh membuat keputusan tentang keadaan air untuk rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan.

"Pada pandangan kita rakyat Selangor dan Wilayah Persekutuan tidak perlu takut mereka tidak ada air sehingga enam bulan," katanya selepas menghadiri Majlis Tautan Kasih Bersama Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang di sini.

Beliau turut memberi jaminan tiada catuan air akan dilakukan sepanjang bulan puasa dan Aidilfitri nanti kerana kerajaan negeri mempunyai simpanan dan punca air yang mencukupi.

Mengenai pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2, beliau berkata perbincangan dengan kerajaan pusat akan diteruskan.

"Dalam masa yang tercepat boleh jadi dalam minggu depan semuanya akan kita selesaikan supaya rakyat tidak tertunggu-tunggu dan tertanya-tanya tentang keadaan situasi air dan juga penyusunan semula industri air di Selangor," katanya.


Tags / Kata Kunci: catuan air , Menteri Besar Selangor , SPAN

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan