SPAD Gantung 27 Permit Bas Ekspres Transnasional

Diterbitkan: Isnin, 21 April 2014 10:18 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan mengantung 27 permit bas ekspres syarikat Transnasional bagi laluan Timur-Sektor Utara berkuat kuasa Rabu ini ekoran kes kemalangan membabitkan bas syarikat itu.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata keputusan itu dibuat hasil pengauditan yang mendapati syarikat berkenaan tidak memantau had kelajuan selain mendapati Sistem Pengesanan Kedudukan Global (GPS) tidak berfungsi.

Beliau berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap syarikat lain yang terbabit dalam kemalangan di Temerloh dan Pekan, Pahang jika terdapat pelanggaran syarat pelesenan serta pekeliling berkaitan.

"Setiap bas persiaran dan bas ekspres wajib dilengkapi GPS sejak 2010, dan perkara ini telah termaktub dalam syarat pelesenan. Maka setiap pengendali harus memastikan GPS sentiasa berfungsi dan dipantau sepenuhnya.

"Pekeliling mengenai Pelaksanaan Kod Amalan Industri SPAD-Keselamatan (ICOP) untuk pengendali bas yang dikeluarkan pada tahun lepas mempertanggungjawabkan pengendali untuk memastikan segala aspek pengurusan pemandu dan penyelenggaraan kenderaan dilakukan secara betul dan berkala," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata Pekeliling SPAD ICOP-Keselamatan juga menitikberatkan aspek pematuhan had kelajuan dan ia merupakan satu daripada agenda keselamatan yang paling kritikal serta perlu dipantau oleh pengendali setiap masa.

Sehubungan itu, Mohd Nur Ismal berkata SPAD tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak serta akan mengambil tindakan tegas terhadap pengendali bas bagi setiap kejadian pelanggaran had laju yang dikesan.

Beliau berkata semua pengendali bas ekspres perlu memberi penekanan serius dalam aspek pengurusan pemandu, penyelengaraan serta mematuhi setiap piawaian yang ditetapkan dalam SPAD ICOP-Keselamatan bagi memastikan keselamatan penumpang.

"SPAD juga sedang mengkaji kesesuaian penggunaan kotak hitam dalam kenderaan perdagangan," katanya.
Tags / Kata Kunci: SPAD , Transnasional

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan