Bayi 9 Bulan, Keluarga Terselamat Dalam Kebakaran

Diterbitkan: Jumaat, 18 April 2014 1:32 PM

Mangsa kebakaran, Azmi melihat keadaan rumahnya yang musnah dalam kebakaran di Jalan Sekolah, Alor Merah di sini, Jumaat.

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Lima sekeluarga, termasuk seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan nyaris maut dalam kebakaran di Jalan Sekolah, Alor Merah dekat sini, pagi Jumaat.

Kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada kebakaran dapur memasak yang memusnahkan bahagian ruang dapur dan ruang makan rumah setingkat itu.

Azmi Ishak, 68, berkata beliau bersama keluarga, isteri, Fatimah Omar, 67, anak perempuan, Nor Azah, 27, dan menantu lelaki Che Wahizul Hafia Che Wahab, 29, serta cucu perempuan Che Nur Ariana, sembilan bulan, berada di dalam rumah ketika kejadian.

Katanya kebakaran itu disedari Nor Azah yang keluar dari bilik selepas menidurkan anaknya dan ternampak api sedang marak di bahagian dapur yang struktur binaannya daripada kayu.

"Selepas terdengar anak saya menjerit, saya lihat api sedang marak dan terus keluar rumah meminta bantuan daripada jiran untuk menelefon bomba," katanya kepada pemberita di sini.

Azmi yang bekerja sebagai penyelia bas di Shahab Perdana di sini berkata beliau sempat menyelamatkan beberapa dokumen penting sambil menyuruh kesemua yang berada di dalam rumah itu menyelamatkan diri.

Katanya, beliau bersyukur anggota keluarga termasuk cucunya selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, walaupun terpaksa menanggung kerugian hampir RM50,000.

Beliau berkata turut musnah dalam kebakaran itu sebuah motosikal dan sebuah mesin serta peralatan milik isterinya untuk membuat kuih tradisional.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Muhamad Mahayuddin berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.32 pagi dan menghantar tiga jentera dengan 15 anggota ke tempat kejadian.


Tags / Kata Kunci: bayi , nyaris maut , Jalan Sekolah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan