MH370: Pihak Berkuasa Harap Kerah Lebih Banyak AUV - Hishammuddin

Diterbitkan: Jumaat, 18 April 2014 2:07 PM

Hishammuddin Hussein.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Malaysia mempertimbangkan kemungkinan untuk mengerahkan lebih banyak aset dalam air bagi mencari pesawat Malaysia yang hilang, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata dalam laman Twitternya, Jawatankuasa Penghantaran Aset yang diketuai Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri sedang mengkaji untuk mengerahkan lebih banyak kenderaan dalam air autonomi (AUV) di selatan Lautan Hindi ketika operasi mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 memasuki hari ke-42 pada Jumaat.

Beliau juga berkata pengalaman yang dikongsi Jean Paul Troadec, penasihat khas kepada Biro Penyiasatan Kemalangan Penerbangan Perancis yang terbabit dalam siasatan insiden Air France Penerbangan 447 pada 2009, telah membantu operasi mencari itu.

Isnin lepas, sebuah AUV yang diberi nama Bluefin-21 diturunkan dari kapal pertahanan Australia, Ocean Shield, ke kawasan 40 kilometer persegi untuk meneruskan misi pencarian MH370 di dasar laut, memandangkan tiada isyarat sah dikesan oleh alat pengesan pinger yang ditunda (TPL) sejak 8 April lepas.

Bluefin-21 dilengkapi sistem pengesan sonar yang menggunakan bunyi akustik untuk menghasilkan peta tiga dimensi di dasar laut, dihantar bagi mengesan sebarang serpihan.

Bagaimanapun AUV itu tidak menemui sebarang kesan MH370 selepas empat misi pencarian sejak Isnin.

Hishammuddin berkata beliau akan bertemu dengan tiga jawatankuasa peringkat kementerian hujung minggu ini untuk meningkatkan lagi usaha mereka.

"Jawatankuasa Waris Penumpang di bawah Datuk Hamzah akan ke Beijing, kemudian Perth, minggu depan. Angus Houston (Ketua penyelaras Pusat Penyelarasan Agensi Bersama) akan menemui mereka," katanya dalam laman sosial itu.

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin mengetuai Jawatankuasa Waris Penumpang manakala Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengetuai Jawatankuasa Teknikal.

Kerajaan mengumumkan penubuhan tiga jawatankuasa itu pada 5 April lepas bagi menyelaras dan memperkukuh usaha mencari pesawat MH370.
 
Hishammuddin berkata Jawatankuasa Teknikal itu sedang mengkaji untuk menubuhkan pelantikan Inkuiri Panel Pakar Antarabangsa. 

Penerbangan MH370 bersama 239 orang berlepas pada 8 Mac dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam dan hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam kemudian ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan. 

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian diperluas ke Selat Melaka serta Laut Andaman dan kini di selatan Lautan Hindi.

Analisis yang dibuat terhadap data satelit menunjukkan pesawat itu terbang di sepanjang laluan yang dikenali sebagai 'koridor selatan' dan kedudukan terakhirnya adalah di tengah-tengah Lautan Hindi, di barat Perth.

Pada 24 Mac, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan