Kadar Kes Banduan Berulang Sistem Parol Kurang 1 Peratus

Diterbitkan: Khamis, 17 April 2014 10:06 AM

Abdul Aziz Mohamad

Timbalan Komisioner Abdul Aziz Mohamad.

(Ubah saiz teks)

Eksklusif  MUKADIMAH: Sistem Parol yang dilaksanakan Jabatan Penjara kini memasuki tahun ke tujuh pelaksanaannya. Mengikut rekod, jumlah keseluruhan 'Orang Di Parol' atau ODP mencecah 7,843 di seluruh negara. Bagi mengetahui keberkesanan sistem ini, mStar Online menjejak beberapa ODP untuk mengetahui kisah silam dan kehidupan baru yang dijalani bekas banduan ini selepas melalui program ini.


KAJANG: Jabatan Penjara berjaya mengekalkan kadar residivis atau kes banduan berulang masuk penjara yang rendah iaitu kurang  satu peratus bagi banduan yang menjalani sistem parol atau dikenali sebagai ‘Orang Di Parol’ (ODP).

Pengarah Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara, Timbalan Komisioner Abdul Aziz Mohamad berkata, sejak sistem itu  diperkenalkan pada 2008, kadar residivis di negara ini bagi ODP  hanya mencatatkan 0.56 peratus daripada jumlah keseluruhan 7,843 orang.

Beliau berkata, sistem parol adalah pelepasan secara perintah parol bagi banduan yang berkelayakan untuk menjalani baki hukuman di luar penjara di bawah pengawasan Pegawai Parol.

“Sistem ini diwujudkan bagi penyesuaian diri mereka (banduan) dalam masyarakat, mengurangkan kadar residivis, selain mendorong mereka berkelakuan baik.

“Kita tidak mahu mereka hilang kawalan apabila keluar penjara pada tarikh sebenar mereka dibebaskan dan bagi memastikan mereka dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan luar.

“Tanpa penyesuaian itu, kemungkinan mereka akan dipengaruhi anasir luar sehingga menyebabkan pengulangan kesalahan atau jenayah lain berlaku. Maka tempoh pemulihan menerusi sistem parol diperlukan bagi penyesuaian itu,” katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia di sini, baru-baru ini.

Sistem parol juga bertujuan untuk mewujudkan penglibatan tinggi daripada masyarakat, mengurangkan kos operasi penghuni di dalam penjara dan membantu mengurangkan kesesakan dalam penjara.

Sejak sistem ini diperkenalkan pada 2008, jumlah ODP ialah seramai 199 orang (2008), 722 (2009), 1,029 (2010), 1,482 (2011), 1,417 (2012), 2,425 (2013) dan 569 (Januari-April 2014). Jumlah keseluruhan 7,843 ODP meliputi 7,532 lelaki dan 311 wanita.

Abdul Aziz berkata, banduan yang layak memohon sistem parol adalah mereka yang dijatuhi hukuman setahun dan ke atas, atau  sekurang-kurangnya sudah menjalani separuh daripada tempoh hukuman itu.

Beliau berkata, banduan perlu berkelakuan baik dengan menilai prestasi mereka menerusi pembentukan disiplin dan pengukuhan siasah serta mengikuti semua program pemulihan di penjara.

“Bagaimanapun, antara banduan yang tidak layak memohon sistem parol adalah banduan yang dijatuhi hukuman mati atau penjara seumur hidup, banduan yang ditahan di bawah perkenan Yang di-Pertuan Agong, Raja atau Yang di-Pertuan Negeri dan banduan yang melakukan kesalahan seksual,” katanya.

Abdul Aziz Mohamad

Menurut Abdul Aziz, setiap permohonan banduan yang berkelayakan juga perlu mendapat sokongan ahli keluarga dan majikan, termasuk masyarakat setempat.

"Kita mahu mereka menjalani proses pemulihan dan perubahan diri di luar penjara menerusi penerimaan keluarga dan masyarakat, termasuk jaminan pekerjaan.

“Oleh itu, pegawai parol akan membantu mendapatkan peluang pekerjaan untuk mereka sebelum dilepaskan secara parol atau mereka boleh bekerja bersama keluarga,” katanya.

Mengenai sistem itu, Abdul Aziz berkata, ODP akan diselia dan dibimbing oleh Pegawai Parol menerusi lawatan ke kediaman dan tempat kerja, selain menilai kemajuan mereka secara berterusan.

“Kita mahu lihat ODP ini benar-benar bersedia menjalani kehidupan normal seperti orang lain sebaik sahaja tempoh hukuman mereka tamat.

“Diharapkan sistem parol ini membantu mereka berubah menjadi insan berguna, bukan sahaja untuk kebaikan diri bahkan keluarga, masyarakat dan seterusnya memberi sumbangan kepada negara,” katanya.


Tags / Kata Kunci: Penjara , Parol , Residivis

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan