Peguam Amerika Nasihat Keluarga Penumpang MH370 Elak Jadi Mangsa Komplot

Diterbitkan: Isnin, 14 April 2014 5:53 PM

Keluarga mangsa pesawat MH370 berdoa ketika upacara keagamaan bagi memperingati pesawat MH370 di Wisma MCA, Kuala Lumpur baru-baru ini.-fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Seorang peguam kecewa dengan laporan bahawa terdapat sekumpulan penipu yang menjadikan keluarga penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 sebagai mangsa berhubung tuntutan ganti rugi.

Floyd Wisner dari Chicago, Amerika, yang telah mewakili penumpang dan keluarga mangsa dalam nahas udara berkata beliau berkongsi kesedihan dengan keluarga terbabit yang melalui pengalaman pahit sejak lima minggu lepas.

"Memang memalukan apabila ada orang yang cuba mengambil kesempatan daripada mereka yang sedang dilanda kesusahan dan saya berharap pihak penguat kuasa undang-undang akan menyiasat perkara ini.

"Sudah lima minggu keluarga terbabit menderita daripada mendapat maklumat salah dan maklumat sebenar, hinggalah kepada peguam yang membuat tuntutan yang tidak sewajarnya dan kini, komplot penipuan pula cuba menggelapkan wang mereka," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.

Beliau merujuk kepada laporan baru-baru ini bahawa satu emel yang didakwa daripada MAS dihantar kepada keluarga mangsa yang meminta mereka menghubungi sebuah bank Malaysia untuk urusan pembayaran ganti rugi.

E-mel itu bagaimanapun menyatakan bahawa 'caj pentadbiran" perlu dibayar sebelum bayaran ganti rugi dapat dijelaskan.

Wisner mengingatkan keluarga terbabit bahawa tiada bayaran dikenakan bagi mendapatkan ganti rugi dan menasihati mereka supaya "menggunakan khidmat peguam penerbangan profesional dan berpengalaman bagi melindungi hak mereka."

Baru-baru ini, peguam itu menyatakan beliau berbincang dengan keluarga terbabit yang berusaha untuk membentuk 'sebuah persatuan keluarga' bagi mewujudkan sebuah pasukan bersatu dan membincangkan tuntutan mereka sebagai satu kumpulan.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang, termasuk dua bayi, serta 12 anak kapal, hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 8 Mac.

Tags / Kata Kunci: peguam , AS , nasihat , keluarga MH370 , Floyd Wisner , nahas udara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan