Lawatan Kerja TPM Eratkan Hubungan Malaysia-UAE

Diterbitkan: Ahad, 13 April 2014 10:58 AM

Muhyiddin menyampaikan ucapan pada majlis 'Bersama Rakyat' sempena lawatan kerja lima hari beliau ke Dubai di Dubai, malam Sabtu. Foto BERNAMA

(Ubah saiz teks)

DUBAI: Hubungan dua hala, ekonomi dan pendidikan antara Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menerima lonjakan pengukuhan melalui lawatan kerja lima hari Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Dubai.

Kunjungan Muhyiddin ke kota metropolitan terkemuka UAE itu membuka ruang kepada pemimpin kerajaan dan swasta kedua-dua negara mengeratkan hubungan, selain membuka lebih peluang perniagaan dan pelaburan ke Malaysia di samping menyerlahkan potensi dan tarikan Malaysia sebagai hab pendidikan.

Menyifatkan lawatannya yang berakhir pada Sabtu sebagai berjaya, Muhyiddin berkata pemimpin UAE yang ditemui sepanjang kunjungannya menghargai hubungan baik dua hala kedua-dua negara serta mahu ia diperkukuhkan dalam pelbagai bidang antaranya ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

Katanya, jalinan hubungan baik dengan UAE mendorong negara itu menghulurkan bantuan kepada Malaysia seperti dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang pada 8 Mac.

"Bila kita sudah menjalinkan hubungan baik serta rapat seperti dengan UAE, ketika kita menghadapi kesusahan, mereka dengan rasa prihatin, menawarkan bentuk bantuan, kerjasama. Ini sangat kita hargai, sebab itu hubungan diplomatik dengan UAE membawa makna besar kepada kita," katanya kepada wartawan Malaysia sebelum mengakhiri lawatan kerjanya.

"Kita tidak lihat dari sudut keuntungan ekonomi sahaja tetapi lain-lain bentuk faedah. Bila ada hubungan rapat antara pemimpin dan juga rakyat dengan rakyat dalam apa-apa hal sekalipun maka ini dapat kita manfaatkan dalam membantu kedua-dua negara," katanya.

Dalam pertemuannya dengan pemimpin perniagaan terkemuka UAE di sini, mereka menyatakan minat untuk membuka operasi di Malaysia manakala sebahagian pelabur UAE sedia ada di Malaysia pula memberi jaminan untuk menambah pelaburan terutama dalam bidang minyak dan gas serta hartanah, kata Muhyiddin.

"Mereka amat tahu tentang Malaysia, mereka tahu dasar kita, mereka tahu prospek perniagaan di Malaysia adalah amat baik.

"Prospek jangka panjang bukan sahaja prospek jangka pendek, adalah baik. Bila minat sudah ada, mereka akan melabur lebih banyak," katanya.

Hasil hubungan baik Malaysia dan UAE, pasar raya hiper terbesar di Timur Tengah, LuLu Hypermarket, milik Lulu Group International, akan membuka operasinya di Malaysia tidak lama lagi dengan memilih Felda sebagai rakan usahasama.

"Sebab itu lawatan ini penting, kita dapat perkukuh kerjasama antara kerajaan dan kerajaan serta kerajaan dengan sektor swasta dan kerajaan," katanya.

Muhyiddin berharap Majlis Perdagangan Malaysia-UAE yang ditubuhkan hasil kerjasama erat kedua-dua negara akan lebih aktif menjadi badan penghubung antara ahli perniagaan kedua-dua negara.

UAE ialah rakan dagang terbesar Malaysia di rantau Asia Barat dengan perdagangan antara kedua-dua negara meningkat kepada USD8.81 bilion pada tahun lalu berbanding USD8.03 bilion pada 2012.

Muhyiddin dalam lawatan kerjanya itu mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, Menteri Pelajaran UAE Humaid Mohammed Al Qatami dan Menteri Kebudayaan, Pembangunan Belia dan Masyarakat Sheikh Nahyan Mubarak Al Nahyan.

Timbalan Perdana Menteri juga menyampaikan ucaptama pada Mesyuarat Tahunan Pelaburan (AIM) dan merasmikan pameran pavilion Malaysia Education pada Pameran Pendidikan dan Latihan Teluk (GETEX) 2014 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Dubai.

Muhyiddin turut menyampaikan ucapan terima kasih kerajaan Malaysia kepada Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum atas bantuan kerajaan UAE dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat MH370.

Beliau berkata, penyertaan Malaysia pada GETEX memberi peluang untuk menyampaikan maklumat terperinci kepada pelajar di sini mengenai maklumat peluang pengajian serta kemudahan pengajian di Malaysia.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata jalinan kerjasama antara Malaysia dan UAE dalam bidang pendidikan wajar diperluaskan skopnya supaya memberi faedah kepada kedua-dua negara.

Melalui jalinan kerjasama bidang pendidikan umpamanya, lebih ramai pelajar UAE dapat datang ke Malaysia manakala pelajar Malaysia boleh ke UAE untuk membuat penyelidikan atau pengajian lanjutan dalam bidang tertentu yang ditawarkan di universiti di negara itu, katanya.

Muhyiddin juga berkata, GEMS Education yang berpangkalan di Dubai dan merupakan pemilik rangkaian sekolah swasta di 151 negara termasuk UAE, Amerika Syarikat dan Singapura, bersetuju untuk membuka sebuah sekolah swasta di Malaysia.

Beliau berkata GEMS Education, yang akan menubuhkan syarikat dengan pelabur-pelabur Malaysia bagi mengusahakan sekolah swasta itu, telah memohon lesen kepada kerajaan untuk beroperasi di Malaysia.

"Mereka (pengusaha-pengusaha sekolah swasta) tawarkan kepelbagaian, bidang-bidang mungkin mereka lebih baik daripada yang lain, jadi siapa yang datang ke Malaysia boleh dapat kemudahan pendidikan yang baik," katanya.

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan