Kerajaan Komited Tangani Isu Pendidikan, Keselamatan

Diterbitkan: Sabtu, 12 April 2014 12:21 PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Menteri Pembangunan Kebudayaan, Belia dan Sosial Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Nahyan Mubarak Al Nahyan (dua, kanan) tertarik melihat alat kawalan jauh sewaktu melawat pameran Pendidikan dan Latihan Teluk (GETEX) 2014 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Dubai (DICEC) baru-baru ini.

(Ubah saiz teks)

DUBAI: Kerajaan Malaysia komited untuk mengambil langkah perlu bagi melakukan penambahbaikan terhadap dua isu yang dekat di hati rakyat Malaysia pendidikan dan keselamatan bagi menjadikan Malaysia sebuah negara lebih baik.

Jaminan itu diberikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada diaspora Malaysia di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Jumaat, yang masih mengikuti perkembangan di tanah air dan memberikan maklum balas berhubung dua perkara itu.

Muhyiddin, semasa menjawab soalan hadirin berhubung pendidikan di Malaysia pada majlis makan malam, menegaskan pendidikan sentiasa dinamik dan mengalami banyak perubahan yang memerlukan penyesuaian dilakukan sewajarnya.

"Kami perlu lihat semula apa yang kami telah terapkan bertahun-tahun lamanya dan sudah tentu tidak sabar untuk melihat bagaimana sistem pendidikan kami berdepan dengan persekitaran global yang sentiasa berubah," kata Muhyiddin, yang juga Menteri Pendidikan.

Beliau berkata sungguhpun Malaysia telah mencapai tahap pencapaian tertentu dalam aspek pendidik, terdapat maklum balas yang menyatakan ia "masih belum cukup baik".

"Terdapat jangkaan tinggi terhadap apa yang kami lakukan dan ini termasuk pendidikan. Kami perlu menelitinya semula," katanya.

Memberikan contoh penguasaan Bahasa Inggeris, Muhyiddin berkata banyak pihak mengakui tahap bertutur dan memahami bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat Malaysia adalah agak baik namun mereka menekankan keperluan dipertingkatkan lagi.

Timbalan Perdana Menteri turut berkongsi dengan hadirin bahawa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 telah membantu menambah baik elemen asas sistem pendidikan manakala Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara memberi penekanan terhadap aspek pengantarabangsaan secara komprehensif bagi menjadikan negara hab pengajian tinggi serantau.

Beliau berkata Malaysia kini menduduki tangga ke-11 dalam World Education Service Report dari aspek destinasi pilihan bagi pengajian tinggi dengan jumlah pelajar antarabangsa meningkat kepada kira-kira 93,000 ketika ini berbanding 86,000 pada 2010.

Muhyiddin berkata PPPM bukan sahaja bertujuan menyediakan pelajar Malaysia untuk menghadapi cabaran masa depan dan global tetapi juga membantu menerapkan nilai-nilai positif dan perpaduan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan