JPJ Sasar 3.5 Juta Penunggang Motosikal Miliki Lesen Dalam Tempoh Lima Tahun - Berita Semasa | mStar

JPJ Sasar 3.5 Juta Penunggang Motosikal Miliki Lesen Dalam Tempoh Lima Tahun

Diterbitkan: Sabtu, 12 April 2014 9:56 PM

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia, Datuk Sri Ismail Ahmad (kiri) menyampaikan replika cek kepada Mahani Mustapha, 53 (tiga, kanan) isteri kepada Allahyarham bekas Penolong Pengarah Penguatkuasa JPJ Kelantan di Taman Guru di sini. Hadir sama Pengarah JPJ Kelantan Abd Ghani Che Kasim (tiga, kiri). -Foto BERNAMA.

(Ubah saiz teks)

JERTEH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memastikan kira-kira 3.35 juta penunggang motosikal di seluruh negara yang dikesan tidak memiliki lesen akan memperoleh dokumen penting itu dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad berkata usaha itu akan dilakukan melalui Program 1Rakyat 1LESEN atau myLESEN khusus untuk para belia dan Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) bagi penduduk berumur 40 tahun ke atas di Sabah dan Sarawak dan 45 tahun ke atas di Semenanjung.

Katanya sejak kedua-dua program dilancar pada tahun 2009, JPJ berjaya mengeluarkan lesen menunggang B2 kepada 62,903 penduduk daripada 154 program diadakan di seluruh negara dan dari jumlah itu sebanyak 6,668 membabitkan penduduk di Terengganu.
 
"Program tersebut bagi memastikan penduduk dapat memandu dengan selamat mengikut undang-undang," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Satu Komuniti Satu JPJ daerah Besut di Gong Kemuntong di sini, Sabtu.

Mengenai kes kemalangan jalan raya, Ismail berkata sepanjang tahun lalu angka kemalangan meningkat sebanyak 14,781 kes daripada 477,204 berbanding 462,423 kes pada tahun 2012.

"Daripada jumlah kes kemalangan itu, sebanyak 6,915 kematian dicatatkan berbanding 6,917 kematian pada tahun 2012," katanya.

Ismail berkata sebagai langkah mengurangkan kes kemalangan termasuk kemalangan maut, JPJ mengadakan pelbagai program termasuk menubuhkan Skuad Muda 1JPJ (SM1JPJ) bagi memberi kesedaran kepada rakyat terutamanya generasi muda tentang kepentingan menjaga keselamatan.

"JPJ akan memastikan keahlian SM1JPJ mencapai sasaran 300,000 orang menjelang akhir tahun ini berbanding 28,773 ahli yang berdaftar sehingga 31 Mac lalu melalui kaunter-kaunter khas yang diwujudkan oleh JPJ di seluruh negara," katanya.

Tags / Kata Kunci: JPJ , Ismail Ahmad , penunggang motosikal , lesen
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan