Pemilihan PKR: Tian Chua Tarik Diri Bertanding Timbalan Presiden

Diterbitkan: Khamis, 10 April 2014 5:12 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua mengumumkan menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden pada pemilihan parti itu bermula hujung bulan ini.

Dalam pengumuman tersebut, Ahli Parlimen Batu itu turut menyatakan pendiriannya menyokong Datuk Saifuddin Nasution Ismail bertanding bagi jawatan nombor dua parti itu.

"Saya sangat memahami bahawa Saifuddin merupakan seorang pemimpin yang berkemampuan meneruskan tanggungjawab ini," katanya.

Selain itu, Tian menegaskan untuk mempertahankan kerusi naib presiden yang dimenanginya pada 2010 dalam satu sidang media khas di sebuah hotel di sini, Khamis.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Saifuddin serta tiga lagi calon naib presiden iaitu Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar; Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Mengulas mengenai sebab pengunduran itu, Tian berkata, beliau yakin calon-calon lain yang bertanding bagi jawatan timbalan presiden berupaya meneruskan agenda yang ingin dibawanya sekiranya beliau meneruskan hasrat bertanding dan menang bagi jawatan tersebut.

Katanya beliau sudah mengadakan perbincangan dengan dua lagi calon timbalan presiden iaitu Saifuddin dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Saya ada melakukan perbincangan dengan Saifuddin dan Abdul Khalid. Saya nyatakan visi saya dengan mereka dan saya yakin mereka boleh teruskan agenda yang saya inginkan dalam PKR," katanya.

Bagaimanapun Tian mengesahkan tiada perbincangan mengenai isu yang sama dibuat dengan seorang lagi calon yang juga penyandang jawatan Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali.

Ditanya sama ada beliau secara rasmi menyertai kem Saifuddin dalam kempen pemilihan kali ini, Tian bagaimanapun menolak untuk dikaitkan dengan mana-mana kumpulan.

Katanya, walaupun Saifuddin dan pasukannya hadir pada sidang media mengenai pendiriannya itu, ia tidak bermakna beliau secara automatik menjadi sebahagian daripada anggota kem berkenaan.

"Dalam pemilihan seperti ini, saya tak begitu gemar mengenai idea kumpulan ini menentang kumpulan itu untuk jatuhkan antara satu sama lain kerana kita sebenarnya satu pasukan dalam PKR.

"Bila jentera kempen saya sudah siap, saya akan membuat pelancaran secara rasmi mengenai kempen saya bagi jawatan naib presiden. Saya terbuka untuk menyokong mana-mana calon bagi jawatan yang lebih tinggi," katanya.

Pengunduran Tian sekaligus menyaksikan saingan bagi jawatan timbalan presiden kini hanya ditandingi lima wakil termasuk dua lagi calon lain iaitu Datuk K. Ramachandram dan S. Murali.

Tags / Kata Kunci: PKR , Selangor , Batu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan