SPR Sedia Kaji Proses Pengundian Lebih Singkat, Tempoh Bertenang Dipanjangkan

Diterbitkan: Rabu, 9 April 2014 5:38 PM

Abdul Aziz Mohd Yusof.

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Proses pengundian lebih singkat dan tempoh bertenang yang dilanjutkan sehingga kepada tiga hari mungkin diperkenalkan dalam sistem pilihan raya Malaysia pada masa akan datang.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata suruhanjaya berkenaan sedia mengkaji dan memperkenal peraturan baharu itu jika terbukti dapat menjadikan sistem pilihan raya di Malaysia lebih efektif.

"Kedua-dua perkara ini adalah peraturan yang boleh dipinda tanpa perlu meminda (perkara-perkara berkaitan pilihan raya) seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas meninjau beberapa tempat pengundian di sini, sempena Pemilihan Umum (Pemilu) Parlimen Indonesia 2014 pada Rabu.

Mengenai proses pengundian lebih singkat, Abdul Aziz berkata tempoh yang mungkin diperkenal di Malaysia adalah dari 8 pagi hingga 3 petang berbanding 8 pagi hingga 5 petang seperti yang dipraktik sekarang. 

"Berdasarkan pengalaman, selepas pukul 3 petang peratusan yang keluar mengundi menurun sehingga dua peratus sehingga tamat proses pengundian...pada saya tempoh yang ideal (proses pengundian) adalah tujuh jam.

"Peraturan ini (proses pengundian singkat) telah pun kita perkenalkan di kawasan pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak yang mana jumlah pengundi tidak terlalu ramai," katanya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata daripada pemerhatiannya, tempoh bertenang selama tiga hari seperti yang diamalkan pada Pemilu Indonesia, sangat berkesan termasuk dapat mengelak penyokong parti politik terus berkempen selepas tamat tempohnya.

Beliau juga mendapati kaedah itu berjaya mendisiplinkan parti bertanding dan penyokong sehingga mewujudkan tempoh bertenang dalam erti kata sebenar.
 
Malah, beliau berkata pengundi juga 'lebih tenang' dalam memilih calon kerana diberikan tempoh yang mencukupi sebelum membuat pertimbangan mereka.

Abdul Aziz berkata pada masa ini di Malaysia, tempoh bertenang bermula dari 12 tengah malam hari terakhir kempen sehingga ke tempoh pengumuman calon yang menang.

"Di Malaysia, tiada yang mahu mengikut peraturan tempoh bertenang yang ditetapkan SPR. Walaupun dilarang, pada hari mengundi masih ada yang mengambil kesempatan meraih serta merayu undi," katanya.

Sementara itu, beliau berkata SPR yang mendapat penghormatan menjadi tetamu rakan setugasnya di Indonesia, Komisi Pemilihan Umum (KPU), memuji perjalanan pilihan raya umum di negara ini yang disifatkannya dilaksanakan dalam keadaan 'tertib dan hormat'.

Hubungan akrab SPR dan KPU telah berlangsung sejak lama, katanya sambil menambah bahawa SPR juga mengundang KPU menyaksikan proses pilihan raya umum ke-13 di Malaysia pada tahun lepas.

Tinjauan di beberapa pusat pengundian di sekitar Jakarta Pusat dan Jakarta Selatan mendapati proses yang melibatkan kira-kira 400 pengundi di setiap pusat pengundian itu berjalan lancar tanpa insiden kekecohan. 

Lebih 500,000 pusat mengundi di seluruh Indonesia yang dibuka sejak 7 pagi telah ditutup pada 1 tengah hari Rabu.

Pada pemilihan umum ke-11 Indonesia ini, sebanyak 185.5 juta pengundi berdaftar akan memilih wakil rakyat bagi menduduki 560 kerusi di Dewan Perwakilan Rakyat atau parlimen Indonesia.

Rakyat Indonesia juga secara serentak akan memilih lebih 18,000 anggota Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Tingkat I dan Tingkat II (ahli majlis tempatan) di semua 33 provinsi atau wilayah.

iklan

Video

Selasa, 24 Oktober 2017 4:12 PM

Mujur Tak Kena Langgar

Selasa, 24 Oktober 2017 2:47 PM

Nampak Mayat Bergelimpangan...

Selasa, 24 Oktober 2017 9:00 AM

Jom Santai Tajul & Ruhainies Gamat!

Selasa, 24 Oktober 2017 8:30 AM

Penangan Ketam Raja

Isnin, 23 Oktober 2017 5:54 PM

Adam, Ezlynn Tuduh Menuduh! Mana Satu Betul?

Isnin, 23 Oktober 2017 4:10 PM

Kiriman Akhir Sebelum Karam

Isnin, 23 Oktober 2017 2:30 PM

Mona Bukan Kehidupan Saya - Shahir

Isnin, 23 Oktober 2017 1:31 PM

Tragedi Tanah Runtuh: Semua Mayat Dijumpai

Isnin, 23 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Aizat Amdan Tak Lupa Dua Benda Ini!

Kolumnis

iklan

Iklan