Dewan Rakyat Lulus Rang Undang-Undang Saraan Hakim (Pindaan) 2013

Diterbitkan: Rabu, 9 April 2014 8:14 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu meluluskan Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2013 bagi melayakkan golongan hakim yang meletak jawatan sebelum mencapai umur 60 tahun tetapi telah berkhidmat sebagai hakim tidak kurang daripada lima tahun mendapat faedah persaraan.

Fasal empat rang undang-undang itu pula memperuntukkan pelaksanaan dasar kenaikan pencen dan faedah lain yang diberikan kepada hakim dan orang tanggungan mereka sebanyak dua peratus setiap tahun.

Rang undang-undang itu diluluskan selepas dibacakan buat kali ketiga oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Nancy ketika menggulung rang undang-undang itu berkata kerajaan akan meneliti cadangan seorang anggota Parlimen supaya satu rang undang-undang digubal bagi melarang bekas hakim daripada terlibat dalam politik dan kembali kepada profesion peguam selepas mereka bersara.

"Untuk makluman, hakim yang telah bersara berhak untuk menjalankan apa juga urusan selagi ia tidak melanggar undang-undang, ini termasuklah hak untuk bercakap dan berpersatuan, selaras dengan peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. 

"Sekiranya bekas hakim ingin kembali menjadi peguam, mereka adalah tertakluk kepada Akta Profesion Undang-undang 1976, yang pada masa ini tidak menghalang mereka daripada berbuat demikian...namun begitu cadangan ahli yang berhormat ini akan diberi perhatian sewajarnya," katanya.

Nancy berkata pelantikan pesuruhjaya kehakiman wajar dikekalkan sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan demi kebaikan pentadbiran dan keadilan undang-undang.

"Antara tujuan pesuruhjaya kehakiman dilantik kerana mereka mempunyai kepakaran dalam bidang tertentu misalnya kewangan Islamik, perbankan dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata kenaikan tahunan pencen sebanyak dua peratus adalah selaras dengan faedah kenaikan pencen sama yang telah dinikmati pesara perkhidmatan awam persekutuan, perkhidmatan awam negeri serta pihak berkuasa berkanun dan tempatan.

"Kenaikan ini juga adalah selaras dengan kenaikan indeks harga pengguna sebanyak dua peratus pada tahun-tahun yang lalu," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan