Pesawat Presiden Indonesia Tiba Khamis Ini

Diterbitkan: Rabu, 9 April 2014 7:49 PM

Susilo Bambang Yudhoyono.

(Ubah saiz teks)

JAKARTA: Setelah beberapa kali tertangguh, dan hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi beliau akan berundur daripada jawatan, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, yang baru-baru ini dikritik kerana menggunakan kemudahan milik negara ketika berkempen untuk partinya, Parti Demokratik, akhirnya berpeluang menggunakan pesawat peribadi presiden pertama negara ini.

Sepanjang lebih sembilan tahun menjadi presiden, Susilo dan rombongan beliau menggunakan pesawat jet yang dipajak daripada syarikat penerbangan kebangsaan, Garuda Indonesia.

Pesawat baharu itu, Boeing Business Jet (BBJ2), akan dipertontonkan kepada umum pada Khamis dalam satu majlis khas di Pangkalan Tentera Udara Halim Perdanakusuma di sini.

Menurut laporan Jakarta Post pada Rabu, pesawat mewah itu berharga US$91.21 juta (RM294 juta).

Selepas upacara itu, pesawat berkenaan akan beroperasi sepenuhnya untuk membawa presiden dalam lawatan rasmi beliau ke seluruh negara dan seberang laut. 

Susilo dijangka menggunakannya untuk kali pertama dalam lawatan ke Myanmar pada Mei untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean Ke-24.

"Mungkin, paling lewat, dalam masa seminggu lagi (presiden boleh menggunakan pesawat itu). Kami perlu mendapatkan persijilan daripada Kementerian Pertahanan terlebih dahulu, sebelum ia boleh digunakan," kata Setiausaha Negara Indonesia Sudi Silalahi.

Pesawat VVIP itu mempunyai bilik tidur utama, yang dilengkapi bilik mandi dan tandas, sebuah bilik persidangan serta bilik makan dan ruang tamu. 

Dengan keupayaan maksimum membawa 70 penumpang, pesawat itu mampu membawa Susilo serta rombongannya.

Menurut laporan, hiasan dalaman bagi kabin pesawat ini melibatkan kos US$27 juta (RM87 juta), manakala sistem pertahanannya menelan belanja US$4.5 juta (RM14.6 juta). Dengan memiliki empat tangki minyak tambahan, ia mampu terbang hingga 12 jam tanpa henti.

Bagaimanapun, jurucakap presiden Julian Aldrin Pasha enggan mendedahkan spesifikasi pesawat berkenaan dan hanya berkata "ia datang bersama beberapa spesifikasi yang direka bentuk bagi sebuah pesawat presiden".

Rancangan pembelian pesawat itu sering menerima kritikan sejak ia dikemukakan kepada Dewan Perwakilan pada Oktober 2009.

Bagaimanapun, kerajaan berkali-kali mempertahankan rancangan itu dengan berkata perbelanjaan membeli sebuah pasawat adalah lebih murah daripada menyewa pesawat setiap kali presiden melakukan perjalanan.


iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan