Pemilihan PKR: Nik Nazmi Di Kem Mana?

Diterbitkan: Rabu, 9 April 2014 2:24 PM

Nik Nazmi mengelak untuk disimpulkan mengenai kemungkinan beliau sudah menyertai kem Saifuddin.

(Ubah saiz teks)

KEHADIRAN Nik Nazmi Nik Ahmad ketika pelancaran kempen pemilihan Parti keadilan Rakyat (PKR) 2014 bagi kem Datuk Saifuddin Nasution Ismail cukup mencuri tumpuan hingga timbul tanggapan beliau sudah beralih arah.

Di kalangan penyokong kem Saifuddin sendiri, kedengaran suara-suara nakal yang mula mempersoalkan mengenai corak permainan politik yang cuba dimainkan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor itu.

Secara logik, kehadirannya itu membawa isyarat seolah-olah ahli politik muda itu menolak kepemimpinan mentornya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali yang turut sama merebut jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti hujung bulan ini.

Turut berada dalam kem Saifuddin ialah dua calon Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar dan Mohd Rafizi Ramli.

Elak Spekulasi

Tanpa berselindung, Nik Nazmi juga menulis di Twitternya pada Selasa memaklumkan bahawa kehadirannya ke majlis pelancaran yang diadakan di sebuah hotel bersebelahan Ibu Pejabat PKR itu sekadar untuk memberi sokongan.

Bagimanapun jika diteliti tulisan tersebut, Nik Nazmi sebenarnya agak berhati-hati dalam tindakannya.

Buktinya beliau hanya menyebut sokongan yang dizahirkan ialah untuk Nurul Izzah dan Mohd Rafizi yang disifatkan sebagai individu penting dalam karier politiknya dalam parti itu.

"Di pelancaran kempen @rafiziramli & @n_izzah untuk Naib Presiden. Rafizi bawa saya masuk parti & Izzah teman awal dalam parti #pemilihan2014," tulis beliau.

Jadi persoalannya di sini,  mungkinkah sebenarnya Nik Nazmi pada hakikatnya masih berada di pihak Abdul Khalid dan menolak langkah Saifuddin untuk berada di kedudukan nombor dua dalam parti. Mungkin juga berperanan sebagai 'pengintip' kepada Abdul Khalid. Dalam percaturan dunia politik apa saja boleh berlaku dan tiada yang mustahil.

Mengulas mengenai kemunculan Nik Nazmi pada majlis itu, seorang ahli PKR yang memerhati perkembangan pemilihan kali ini menyifatkan ia bukan tindakan luar biasa dalam politik.

"Menyokong tak semestinya sokong sepenuhnya, dan begitu juga kalau kita membantah. Begitu juga dalam kes Nik Nazmi, beliau sokong Izzah dan Rafizi tapi tak semestinya beliau perlu sokong Saifuddin juga," katanya yang enggan dikenali.

Nik Nazmi sendiri seakan tahu bahawa kemunculannya itu mungkin menimbulkan pelbagai tanda tanya hingga mencetuskan spekulasi.

"Awal-awal lagi saya sudah tulis di Twitter. Saya hadir menyokong teman-teman saya," katanya kepada mStar Online.

Malah Nik Nazmi mengelak untuk disimpulkan mengenai kemungkinan beliau sudah menyertai kem Saifuddin.

Pelancaran kempen Saifuddin
Nik Nazmi (tiga dari kiri) menimbulkan pelbagai spekulasi apabila hadir pada pelancaran kempen Saifuddin (tengah) yang bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Lawan Azmin

Rekod sebelum ini turut menunjukkan Nik Nazmi mempunyai pertalian rapat dengan kem Mohamed Azmin, malah pernah beberapa kali mengeluarkan kenyataan mempertahankan penyandang jawatan Timbalan Presiden PKR itu apabila menerima serangan daripada musuh politiknya.

Malah Nik Nazmi sebelum ini turut pernah dilabel sebagai 'budak suruhan' Mohamed Azmin ketika menjawat jawatan Setiausaha Politik kepada Abdul Khalid kerana didakwa banyak membocorkan rahsia Pejabat Menteri Besar.

Namun untuk mengatakan bahawa Nik Nazmi menyokong kem Mohamed Azmin pada pemilihan ini agak janggal apabila beliau sendiri merupakan calon bagi jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) menentang orang kanan Ahli Parlimen Gombak itu.

Nik Nazmi berhadapan saingan tiga penjuru bagi jawatan Ketua AMK melawan Adun Batu Caves, Amirudin Shari dan Naib Ketua AMK Pusat, Mohd Nazree Mohd Yunus.

Perkiraannya mudah, menentang orang kanan Mohamed Azmin bermakna Nik Nazmi turut melancarkan perang terhadap jentera kempen pemilihan kumpulan itu.

Jadi agak mustahil untuk mengaitkan Nik Nazmi kini bersama kem Mohamed Azmin menentang Abdul Khalid dan Saifuddin.

Setia Bersama Khalid

Pada tahap ini sumber dalaman parti itu memberitahu bahawa Nik Nazmi sebenarnya masih setia berada di belakang Abdul Khalid.

Cuma percaturan politik Adun Seri Setia ini agak licik hingga gerak geri kecenderungan sokongannya kepada Menteri Besar itu sukar dijejaki.

Di pihak Abdul Khalid sendiri, beliau sememangnya mengharapkan pengaruh dan sokongan Nik Nazmi terutama di pihak golongan muda bagi membantu usahanya menundukkan penguasaan Mohamed Azmin.

Pandangan mata kasar Abdul Khalid sememangnya kurang mendapat sokongan golongan muda jika dibandingkan dengan dua lagi calon 'heavy weight' iaitu Mohamed Azmin dan Saifuddin.

Bagaimanapun apa jua percaturan Nik Nazmi mengenai kem mana yang patut disertainya, beliau sendiri mempunyai tugas berat untuk memastikan kemenangannya dalam AMK.

Pada ketika ini, siapa jua yang menentang kem Mohamed Azmin disifatkan sebagai menongkah arus apabila ramai pihak masih mengakui pengaruhnya dalam PKR.

Tags / Kata Kunci: PKR , Selangor

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan