Ketua Audit Negara Selar Laporan Buruk The Edge

Diterbitkan: Rabu, 9 April 2014 11:21 AM

Ambrin menyelar laporan The Edge yang disifatkan berniat buruk mengenai prestasi pelaburan luar negara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketua Audit Negara (AG) Tan Sri Ambrin Buang menyanggah laporan The Edge yang disifatkan sebagai berniat buruk kerana menggambarkan beliau sebagai tidak berpuas hati dengan prestasi pelaburan luar negara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Meluahkan perasaan tidak puas hatinya terhadap lidah pengarang akhbar itu, Ambrin berkata laporan itu tidak tepat sama sekali kerana, dalam Laporan Audit Negara 2013 yang dibentangkan semalam, beliau sebenarnya memuji KWSP kerana kaedah yang menguntungkan yang dilaksanakannya dalam mengurus pelaburan hartanah di luar negara.

"Daripada laporan The Edge, nampaknya saya seolah-olah tidak berpuas hati dengan kelemahan pelaburan KWSP di luar negara dan oleh itu KWSP akan dipanggil oleh PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) untuk menjelaskan tentang pelaburannya.

"Saya benar-benar tidak bersetuju dengan laporan oleh wartawan The Edge kerana saya tidak pernah sekalipun dalam pertemuan atau perbincangan dengan anggota PAC menyebut ketidakpuasan saya mengenai pelaburan KWSP," katanya dalam surat kepada The Edge.

Ambrin selanjutnya berkata laporan itu jelas sekali tidak tepat dan tidak sewajarnya melaporkan kononnya timbul kebimbangan berhubung pelaburan KWSP di luar negara.

Semalam, The Edge dalam laporan bertajuk AG Raises Alarm Over EPF's Overseas Investment (AG Bangkitkan Kebimbangan berhubung Pelaburan KWSP Luar Negara) mendakwa Ambrin telah meminta bantuan PAC untuk menyiasat peningkatan pelaburan hartanah KWSP di luar negara.

Laporan itu juga memetik Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai berkata AG telah menyuarakan kebimbangan kepada jawatankuasa itu bahawa KWSP telah menambah RM6.46 bilion dalam pelaburan tertentu tahun lepas.

"AG mahu tahu untuk apakah pelaburan itu dan bagaimana ia diperoleh dan sama ada ia berisiko atau tidak dan sama ada kita boleh dapatkan kembali wang kita," kata Nur Jazlan seperti yang dilaporkan dalam harian kewangan itu.

Bagaimanapun, Ambrin berkata beliau telah dengan jelas menyatakan dalam laporannya bahawa pendapatan kasar KWSP dalam pelaburan hartanah telah meningkat 91 peratus kepada RM1.14 bilion pada 2013 berbanding RM596 juta pada tahun sebelumnya.

"Untuk pengetahuan anda, prestasi baik KWSP ini sebenarnya telah disiarkan oleh banyak akhbar seperti The Star, Utusan Malaysia, Berita Harian, Malaysian Insider (portal berita) dan banyak lagi.

"Seperti yang kita tahu, KWSP adalah sebuah daripada agensi kerajaan yang mana kepentingan awam adalah menjadi keutamaan dan keyakinan orang ramai tidak harus terhakis dengan laporan berniat buruk oleh The Edge," katanya dalam surat itu.

Beliau mendesak akhbar itu membuat pembetulan mengenai laporan awalnya itu.

iklan

Video

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 2:00 PM

Jom Santai Bersama Ruhainies Dan Tajul!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Isnin, 16 Oktober 2017 9:00 AM

#BiziBody: Haters Maki Tajul Di Instagram!

Kolumnis

iklan

Iklan